Friday, May 22, 2009

Terima bil telefon ‘hantu’

Oleh Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Selepas hanya dua bulan MyKadnya hilang, seorang pelajar tersentak apabila menerima bil telefon ‘hantu’ berjumlah ribuan ringgit yang dihantar sebuah syarikat telekomunikasi secara berterusan sehingga kini.

Lebih mengejutkan apabila mangsa didakwa menggunakan empat nombor telefon bimbit berbeza disediakan syarikat itu sejak sembilan bulan lalu walaupun tidak pernah mendaftar talian berkenaan.

Lim You Sun, 20, yang menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi di ibu kota mendakwa masalah itu bermula Oktober tahun lalu apabila dia menerima empat penyata bil telefon meminta melunaskan pembayaran talian yang digunakannya sepanjang bulan berkenaan.

“Saya terkejut apabila melihat semua penyata bil berlainan nombor berjumlah lebih RM3,000 itu didaftar menggunakan nama saya serta dipos ke kampung halaman di Melaka. 

“Perkara itu dianggap tidak munasabah kerana saya hanya menggunakan satu nombor telefon bimbit dan ia kemungkinan didalangi seseorang yang menggunakan MyKad saya untuk pendaftaran semua talian berkenaan,” katanya pada sidang media di Biro Pengaduan Awam MCA di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Biro Aduan Awam MCA, Datuk Michael Chong.

Menurutnya, dompet miliknya berisi MyKad dan dokumen lain hilang selepas pulang dari sebuah pasar malam di Cheras pada 30 Julai tahun lalu.

Kata Lim, dia cuba menghubungi semua nombor itu dan mendapati dua daripadanya sudah ditamatkan perkhidmatan. 

“Saya seterusnya pergi ke syarikat telekomunikasi untuk menjelaskan perkara sebenar dan meminta membatalkan pembayaran bil telefon itu.

“Bagaimanapun, kakitangan syarikat itu seolah-olah tidak mengendahkan permintaan saya dan masih menghantar bil sehingga ke hari ini yang mencecah RM9,000,”
katanya yang turut membuat dua laporan polis.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090521054731/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...