Friday, May 22, 2009

Suspek miliki 3 rekod jenayah

IPOH: Siasatan awal polis mendapati suspek yang ditahan selepas menceroboh dalam kejadian samun bersenjata mengakibatkan tiga terbunuh di Taman Pinji Seni, Jalan Sultan Azlan Shah semalam mempunyai tiga rekod jenayah lampau termasuk kesalahan mencuri. 

Suspek berusia 26 tahun itu ditahan polis semalam selepas suspek terbabit yang dipercayai berada di bawah pengaruh dadah diberkas pemilik rumah ketika dia cuba melarikan diri dengan sebuah motosikal selepas merompak rumah mangsa. 

Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah, berkata suspek ditahan pada jam 2.45 petang selepas diikat suami mangsa di hadapan rumah teres setingkat berkenaan.

Beliau berkata, suspek kini menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun dengan kawalan ketat polis kerana cedera di beberapa bahagian badan akibat pergelutan dengan pemilik rumah berkenaan selepas gagal melarikan diri. 

“Polis percaya berlaku pergelutan ketika kejadian dan sebaik tiba, polis mendapati ketiga-tiga mereka yang ditemui di ruang tamu rumah itu sudah meninggal dunia. 

“Mereka ditemui dengan kesan tikaman dan tetakan di beberapa anggota badan dan mayat mereka dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk dibedah siasat,” katanya. 

Katanya, ketika lelaki itu ditahan, suspek melarikan sebuah komputer riba milik mangsa malah, polis turut mendapati suspek berada di bawah pengaruh dadah.

“Daripada siasatan awal, kami mengesahkan hanya sebuah komputer riba yang dilarikan dari rumah mangsa dan suspek juga mempunyai tiga rekod jenayah lampau kerana kesalahan mencuri mengikut Seksyen 372 Kanun Keseksaan. 

“Polis turut menemui sebilah pisau daripada beg suspek yang dipercayai digunakan sebagai senjata ketika kejadian,”
katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...