Thursday, May 14, 2009

2 pelatih pindah wad pengasingan

MELAKA: Dua pelatih Akademi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Tiang Dua di sini yang sebelum ini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka (HM) sejak 7 Mei lalu sudah dipindahkan ke wad pengasingan, kira-kira jam 5.30 petang semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kesihatan negeri, Norpipah Abdol, berkata keputusan memindahkan dua pelatih terbabit dibuat selepas mereka memberikan tindak balas baik terhadap ubat antiobiotik ceftrianxone yang diberikan sejak minggu lalu selain tanda-tanda kesan jangkitan bakteria meningitis menunjukkan penyembuhan ketara.

“Ini perkembangan amat baik kerana tiada pelatih ditahan di wad ICU dan mereka semakin sembuh. Ketika ini, seramai 47 orang masih dirawat di empat wad di hospital ini,” katanya selepas melawat pelatih akademi terbabit di HM, di sini.

“Semua mereka yang ditempatkan di wad pengasingan hanya akan dibenarkan untuk pulang ke rumah masing-masing jika benar-benar sembuh dan mendapat kebenaran daripada pihak berwajib.

“Selain itu, pihak kami juga masih melarang mana-mana ahli keluarga dan rakan melawat pesakit kerana tidak mahu jangkitan merebak kepada orang lain,” katanya.

Sementara itu, tinjauan di HM mendapati kakitangan bahagian kecemasan sibuk memasang poster mengenai langkah pencegahan jangkitan bakteria dan penyakit berjangkit selain memasang pemidang menunjukkan kawasan zon larangan.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090514080421/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...