mriduwan@hmetro.com.my
MELAKA: Seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai Petronas dan menipu orang awam serta kakitangan hospital swasta membabitkan kerugian berjumlah RM7,202 pada Januari dan April lalu dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan 18 bulan serta empat sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.
Majistret Muhamad Faizal Ismail menjatuhkan hukuman itu selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh, Mohd Najib Abu Bakar, 33, terhadap tiga pertuduhan menipu, meneliti fakta kes dan rayuannya serta hujah Pegawai Pendakwa, Cif Inspektor Muhamad Juhari Haron.
Bagi kes pertama, Mohd Najib dari Kampung Majidee, Tampoi, Johor Bahru didakwa menipu Koordinator Hospital Pantai, Maggie Hui Pei Pei, 38, bahawa dia pegawai Petronas hingga mendorong mangsa membuat pemeriksaan kesihatan terhadap sembilan orang dengan kos bernilai RM2,322 sedangkan tidak berniat memberi pekerjaan kepada mereka.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Hospital Pantai, Jalan Lebuh Ayer Keroh, dekat sini, kira-kira jam 10.18 pagi pada 7 Januari lalu.
Fakta kes menunjukkan ketika mangsa (pengadu) bertugas di hospital itu pada 7 Januari lalu, seorang lelaki (tertuduh) berjumpanya dan memperkenalkan diri sebagai pegawai Petronas Dagangan Kuala Lumpur dan hendak membuat pemeriksaan kesihatan terhadap sembilan kakitangan Petronas Melaka.
Pemeriksaan sudah dibuat tetapi tertuduh tidak membayar caj serta berjanji akan membawa 15 lagi pekerja untuk tujuan sama, keesokan harinya.
Pengadu mendapati tertuduh tidak datang dan selepas menghubungi Petronas Dagangan Berhad, dia dimaklumkan semua lelaki itu tidak wujud dalam syarikat berkenaan menyebabkan mangsa berasa tertipu dan membuat laporan polis.
Bagi kes kedua, Mohd Najib didakwa melakukan kesalahan sama hingga mendorong Penolong Pengurus Kanan Hospital Putra, Rosniza Sidek, 36, membuat pemeriksaan kesihatan terhadap 17 orang dengan kos RM4,280 kira-kira jam 10.30 pagi pada 6 April lalu.
Berdasarkan fakta, tertuduh datang menemui pengadu dan menyatakan hendak membuat pemeriksaan kesihatan terhadap 18 pekerja Petronas Melaka dan mereka berbincang mengenai sebut harga serta berjanji membayarnya pada sebelah petang.
Bagaimanapun, pihak hospital gagal menghubunginya pada 9 April lalu untuk mendapatkan bayaran sebelum seorang wanita menghubungi hospital dan bertanyakan sama ada tertuduh membuat bayaran atau tidak menyebabkan pengadu berasa tertipu membuat laporan polis.
Bagi kes ketiga, tertuduh didakwa menipu Salehudin Ahmad dan tiga rakannya sebagai pegawai Petronas hingga mendorong mangsa membuat pemeriksaan kesihatan di Hospital Pantai dengan kos RM600 sedangkan dia tidak berniat menawarkan pekerjaan kepada mereka.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pantai Rombang, Tanjung Kling, dekat sini, kira-kira jam 7 malam pada 6 Januari lalu.
Mengikut fakta kes, kira-kira jam 9 pagi pada 7 Januari lalu, pengadu dan lapan rakannya dibawa tertuduh ke Hospital Pantai untuk pemeriksaan kesihatan bertujuan bekerja dengan syarikat Petronas dan meminta bayaran RM128 seorang.
Empat mangsa membayar sejumlah RM600 kepada tertuduh, namun ketika tiba di hospital pengadu diberitahu bayaran belum dibuat.
Ketiga-tiga kesalahan itu dituduh mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dan sebatan atau denda atau kedua-duanya sekali.
Majistret kemudian menjatuhkan hukuman penjara setahun dan dua sebatan bagi kes pertama; penjara dua tahun dan dua sebatan bagi kes kedua dan penjara 18 bulan dari tarikh tangkap bagi kes ketiga. Semua hukuman berjalan berasingan.
Terdahulu, Muhamad Juhari memberitahu mahkamah, tertuduh disenaraikan sebagai orang paling dikehendaki oleh polis kerana mempunyai rekod kesalahan menipu.
http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090514081843/Article/index_html
No comments:
Post a Comment