Thursday, May 14, 2009

BOLEHKAH RUJU' TANPA MELAFAZ?

Tidak terdapat khilaf bahawa rujuk yang dibuat secara berlafaz yang terang oleh suami di hadapan saksi adalah sah. Demikian juga secara bertulis. 

Namun ada yang bertanya kepad asaya sama ada ada cara lain, bagaimana jika berlakunya persetubuhan dalam masa iddah tersebut sebelum lafaz.? 

Ulama mazhab berbeza fatwa dalam hal ini seperti berikut :- 

Hanafi  : Sah ruju' sama ada dengan persetubuhan atau permulaan persetubuhan seperti sentuhan bersyahwat, ciuman, melihat kemaluan isteri dan lain-lain. Pandangan ini turut disebut oleh ramai ulama tabien seperti Sa'ad Ibn Musayyab, Hasan Al-Basri, Ibn Sirin, Ato' Abi Rabah, Al-Awzai'e, Sufyan At-Thawry, As-Sya'biy dan lain-lain. 

Maliki : Sah ruju' dengan persetubuhan dengan syarat si suami ada niat ruju' semasa persetubuhan itu berlaku. Namun ciuman, sentuhan dan lain-lain dengan syahwat sahaja tidak cukup untuk dianggap ruju'. 

Syafie :  Mazhab Syafie menolak ruju' melalui perlakuan tanpa lafaz secara total, sama ada persetubuhan, mahupun permulaannya sebagaimana pandangan Hanafi tadi. Mazhab Syafie berfatwa sebarang persetubuhan pada waktu ‘iddah tanpa lafaz ruju' yang jelas terlebih dahulu adalah haram. 

Imam As-Syafie berkata :- 

والرد يكون بالكلام دون الفعل من جماع وغيره ; لأنه رد بلا كلام، فلا تثبت رجعة لرجل على امرأته حتى يتكلم بالرجعة، كما لا يكون نكاح ولا طلاق حتى يتكلم بهما، فإذا تكلم بها في العدة ثبتت له الرجعة  
Ertinya : Ruju mestilah dengan percakapan ( lafaz) dan bukannya dengan jima' dan lainnya, kerana tiada ruju' tanpa lafaz, maka tidak sah ruju' bagi seorang lelaki kepada wanita sehinggalah dia melafazkannya, sebagaimana tiada nikah dan talaq yang dibuat tanpa lafaz, maka jika si lelaki melafazkannya (ruju') semasa iddah barulah sah ruju'nya" (Al-Umm) 

Hanbali : Sah ruju' dengan persetubuhan namun tidak sah ruju' hanya dengan permulaan persetubuhan. Samada ia dilakukan dengan niat ruju' atau tidak. 

Kesimpulan : Apapun pendapat pelbagai mazhab, sebagaimana yang telah saya dedahkan di atas, Malaysia mengambil mazhab Syafie yang mensyaratkan suami MESTI melafazkan ruju' terlebih dahulu secara rasmi. Ia wajar dituruti.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...