Thursday, May 14, 2009

Obama mahu tribunal bicara tahanan Guantanamo


GAMBAR fail menunjukkan seorang tahanan dikawal oleh dua pengawal penjara di Teluk Guantanamo, Cuba.





WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama (gambar)akan mengumumkan pada minggu ini untuk memulihkan kembali suruhanjaya tribunal tentera bagi membicarakan sejumlah suspek keganasan yang ditahan di Teluk Guantanamo, Cuba, kata beberapa pegawai AS.

Mereka berkata, skop perlindungan undang-undang terhadap kumpulan tahanan tersebut diperluaskan bagi memastikan mereka mendapat keadilan.

Obama dijadual bertemu Pengerusi Jawatankuasa Kehakiman Senat, Patrick Leahy dan beberapa pemimpin kanan Kongres di White House hari ini bagi membincangkan perkara itu.

Menurut satu sumber kelmarin, Presiden AS itu akan mendesak Kongres yang mewujudkan tribunal tentera pada 2006 supaya menolak penggunaan bukti berdasarkan khabar angin, mengharamkan pengakuan secara paksaan dan membenarkan suspek memilih peguam mereka.

Langkah tersebut akan memberi kesan positif terutamanya kepada lima suspek utama dalam serangan ke atas bandar raya New York dan Washington pada 11 September, 2001 termasuk ketua mereka, Khalid Sheikh Mohammed.

"Saya percaya perkara itu akan diumumkan dalam tempoh terdekat," kata Pengerusi Pasukan Keselamatan Senat, Carl Levin

Penjara Teluk Guantanamo di Cuba kini masih didiami 241 suspek pengganas dari 30 buah negara.

Obama sebelum ini mengkritik keras penggunaan tribunal tentera bagi tujuan itu ketika era pentadbiran Presiden George W. Bush.

Malah, pada 22 Januari lepas, White House mengumumkan bahawa Obama telah menandatangani arahan menggantung suruhanjaya berkenaan selama 120 hari manakala penjara Teluk Guantanamo pula akan ditutup dalam tempoh setahun. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0514&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...