Monday, May 11, 2009

‘Datuk muda’ nodai cucu

Oleh Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


KOTA BHARU: Akibat nafsu binatang ‘datuk muda’, masa depan seorang kanak-kanak perempuan yatim piatu kian malap apabila dipercayai dirogol datuk tirinya yang selama ini menjadi tempat bergantung selepas mangsa kematian ibu. 

Insiden menjijikkan itu dipercayai dilakukan di rumah lelaki berusia 34 tahun itu di Machang, baru-baru ini.

Kejadian disedari pengasuh mangsa apabila melihat kanak-kanak itu berada dalam keadaan kesakitan ketika mahu membuang air kecil di tandas rumahnya kira-kira jam 8 pagi, 4 Mei lalu. 

Mengesyaki perkara buruk berlaku selepas mendapati cecair kuning mengalir di kemaluan mangsa, wanita itu membawanya ke Hospital Machang untuk membuat pemeriksaan lanjut.

Tindakan segera pengasuh membawa mangsa ke hospital bertujuan melakukan pemeriksaan doktor untuk memastikan sama ada kanak-kanak yang dijaganya itu dirogol atau sebaliknya.

Difahamkan, mangsa diajukan soalan berkaitan kesakitan dialami sebelum itu secara spontan berkata: ‘datuk buat ke kemaluan’ (perbuatan seperti dirogol) kepada pengasuhnya sehingga menimbulkan tanda tanya.

Pemangku Ketua Polis Daerah Machang, Asisten Superintendan Loo Lian Lay, berkata mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang, kira-kira jam 4.30 petang, 7 Mei lalu.

Katanya, mangsa dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) pada hari sama untuk melakukan pemeriksaan rapi terhadap kemaluannya.

“Hasil pemeriksaan, pakar mendapati mangsa dirogol kerana ada kesan koyakan di bahagian kemaluannya.

“Bagaimanapun, mangsa yang disoal siasat masih trauma dengan kejadian menimpanya kerana berada dalam keadaan ketakutan, selain ditahan di wad untuk rawatan lanjut,”
katanya.

Loo berkata, mangsa dijaga nenek dan datuk tirinya selepas ibunya meninggal dunia beberapa tahun lalu sebelum dihantar ke rumah pengasuh setiap pagi oleh datuk tirinya.

“Berdasarkan keterangan pengadu, suspek berusia 34 tahun dipercayai datuk tiri mangsa menghantar kanak-kanak itu ke rumah pengasuh kerana kedua-dua mereka bekerja,” katanya.

Katanya, berdasarkan laporan diterima, polis menahan lelaki disyaki kira-kira jam 12 tengah hari semalam di taman perumahan bagi membantu siasatan terhadap kes sumbang mahram.

Lelaki bekerja sebagai buruh disiasat mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan kerana sumbang mahram, jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 30 tahun serta sebatan.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20090511065014/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...