Monday, May 11, 2009

Korban selesema babi meningkat kepada 50



PEGAWAI kuarantin dan penumpang keluar dari sebuah pesawat yang baru tiba dari Mexico selepas menjalani pemeriksaan kesihatan sebaik sahaja mereka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita di Tokyo, kelmarin. – AFP


SAN JOSE 10 Mei – Angka kematian akibat selesema babi meningkat kepada 50 orang dengan Costa Rica melaporkan kematian pertamanya, manakala Jepun dan Norway menambah lagi senarai kes yang disahkan.

Menteri Kesihatan Costa Rica, Maria Luisa Avila berkata, mangsa pertama selesema babi di negara ini adalah seorang lelaki berusia 53 tahun yang maut selepas seminggu terlantar di hospital San Jose.

Lelaki itu turut mengalami masalah kesihatan yang lain termasuk kencing manis dan kerosakan paru-paru.

Setakat ini, lapan rakyat Costa Rica dijangkiti virus tersebut sejak ia dikenal pasti.

Sementara itu, Amerika Syarikat (AS) mengesahkan kes kematian ketiga selesema babi di Washington dan pegawai memberi amaran bahawa penyakit itu mewujudkan ancaman kesihatan.

Pegawai kesihatan negeri dalam kenyataannya berkata, seorang lelaki dalam lingkungan 30-an dengan masalah jantung meninggal dunia pada minggu lalu dengan keadaan komplikasi serupa akibat jangkitan selesema babi.

Ia adalah kematian pertama dilaporkan di luar Texas yang bersempadan dengan Mexico iaitu tumpuan berlakunya wabak selesema babi.

“Penilaian kami di sini adalah penyebaran penyakit adalah berterusan kerana virus ini mudah berjangkit, sama seperti virus selesema bermusim,” kata Anne Schuchat dari Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS,

Di Tokyo, seorang pelajar sekolah tinggi yang baru-baru ini pulang dari Amerika Utara disahkan positif virus H1N1, sekali gus menjadi kes keempat di Jepun. Sebelum ini seorang guru dan dua rakan sekolahnya disahkan dijangkiti.

Norway pula mencatat kes pertama apabila dua orang dewasa disahkan positif.

Kini, Mexico mencatat 48 kematian, diikuti AS sebanyak tiga mangsa, manakala di Kanada dan Costa Rica, masing-masing mencatat satu kematian.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), bagaimanapun masih belum mengesahkan tiga lagi kematian di Mexico dan satu kematian di Costa Rica. – AFP

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...