Monday, May 11, 2009

Mangsa culik ditemui mati

Oleh Abdullah Wahab
abwahab@hmetro.com.my


PUNCAK ALAM: Mereka menjadi mangsa samun dan culik di Damansara, dekat sini, Jumaat lalu, sebelum seorang daripadanya menyelamatkan diri kelmarin, bagaimanapun seorang daripadanya ditemui mati di ladang kelapa sawit di sini, kira-kira jam 3.30 petang semalam dipercayai gagal membuka ikatan pada badannya.

Mayat mangsa yang dikenali sebagai Gan itu ditemui saudara-mara, penduduk kampung dan polis yang keluar mencarinya selepas rakannya melepaskan diri dengan membuka ikatan kaki dan tangannya sebelum meminta bantuan penduduk.

Ketika ditemui, mangsa dipercayai sudah meninggal dunia kira-kira 24 jam lalu dalam keadaan menyayat hati dengan tangan dan kakinya terikat manakala mulutnya disumbat kain serta mata ditutup.

Siasatan polis membawa kepada penemuan sebuah kereta Hyundai Sonata milik mangsa dengan kesan terbakar di Templer Park, Rawang.

Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Zahariah, 40-an berkata, kira-kira jam 7 malam kelmarin, dia tergamam selepas melihat seorang lelaki dalam keadaan comot dipenuhi lumpur manakala ibu jari kaki kirinya masih terikat kabel tiba-tiba muncul dan meminta air daripadanya.

“Pada mulanya saya ingatkan dia tak waras, tapi tak sampai hati selepas melihat dia dalam keadaan lemah sebelum saya masuk dalam rumah mengambil air.

“Saya lihat terdapat kesan calar dan lebam pada mulut manakala kakinya terdapat kesan ikatan kuat sehingga terdapat kesan hitam berdarah,”
katanya.

Menurutnya, dia yang ketika itu membakar sampah di halaman rumah mengejutkan suaminya, Nizam Baharuddin, 41, daripada tidur selepas memikirkan sesuatu berlaku kepada lelaki terbabit.

“Lelaki itu beritahu ada seorang lagi kawannya dalam hutan dan dia bertanya di mana dia berada sekarang dalam nada lemah dan sukar difahami.

“Malah, apabila saya tanya apa yang berlaku dia beritahu menjadi mangsa samun tiga lelaki berpistol,”
katanya menambah lelaki itu turut memberitahu namanya Kaa Chi.

Sementara itu, Nizam berkata, dia tidak sampai hati melihat keadaan lelaki itu sebelum memintanya memberi nombor telefon untuk dihubungi sebelum dijawab seorang wanita.

“Selepas yakin suara itu anaknya, saya menghantarnya ke sebuah pam minyak di Sungai Buloh bertemu saudara-maranya.

“Kemudian mereka bergegas membuat satu laporan polis di Sungai Damai, Sungai Buloh,”
katanya.

Mereka beramai-ramai keluar mencari mangsa sebelum ditemui sudah meninggal dunia dalam keadaan menyayat hati. 

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Khaw Kok Chin, berkata siasatan mendapati kedua-dua mangsa berasal dari Batang kali dan ketika kejadian mereka dalam perjalanan pulang selepas menghadiri majlis kenduri kahwin anak saudaranya di Kepong, dekat sini.

Menurutnya, ketika mangsa berehat dalam kereta di Damansara, tiga lelaki menghampiri kenderaan itu dan memperkenalkan diri sebagai polis sebelum membawa mangsa ke rumah kosong.

“Di situ mereka diikat kaki dan tangan manakala mulutnya disumbat kain serta mata ditutup sebelum kedua-duanya dimasukkan dalam bonet kereta dan dibuang di sini.

“Jarak mangsa pertama dan kedua dibuang ialah kira-kira 200 meter,”
katanya menambah mangsa yang juga pemilik sebuah restoran dipercayai menemui ajal akibat sesak nafas.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20090511070053/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...