metahad@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: Sekumpulan peminjam wang along kini hidup dalam ketakutan dan kesengsaraan akibat diburu ceti haram itu siang dan malam bagi menuntut hutang berjumlah puluhan ribu ringgit.
Perasaan bimbang itu timbul selepas along mula bertindak ganas apabila bukan saja datang ke rumah, tetapi turut menghubungi peminjam di tempat kerja, mengekori serta mengugut untuk membuang daerah.
Disebabkan tindakan itu, peminjam terpaksa berpindah rumah dan sekolah selain membuat pinjaman semula daripada along lain hanya untuk membayar hutang atau menutup lubang.
Akibatnya, hutang semakin bertambah dan along menjadi pilihan terakhir apabila mahu melangsaikan hutang ceti haram lain.
Mereka tidak mahu kejadian menimpa tiga lelaki mangsa along yang dirantai dan dikurung dalam dua ‘lokap’ di tingkat bawah sebuah rumah kedai empat tingkat di Bukit Serdang, 27 Mei lalu, berulang.
Seorang peminjam yang dikenali sebagai Aswad, 35, berkata dia sangat tertekan apabila along mula bertindak di luar batasan sehingga memaksanya berpindah rumah dan sekolah anak sebanyak empat kali dalam tempoh dua tahun.
Aswad berkata, dia kini melarikan diri daripada lima along akibat tidak mampu menyelesaikan hutang ceti haram itu.
“Saya mula pinjam along awal tahun lalu dengan jumlah pertama RM7,500. Saya tahu risikonya tetapi akibat terdesak dan kesempitan wang, saya terpaksa berbuat demikian.
“Saya perlu membayar RM500 sebulan, namun beberapa bulan kemudian saya tidak mampu bayar. Akibatnya, hutang tertunggak dan untuk menyelesaikan masalah ini, saya pinjam daripada along lain,” katanya yang ditemui di Banting, Selangor.
Aswad yang sudah berkahwin dan dikurniakan tiga cahaya mata berusia 10, 6, dan 5 tahun menemui along kedua dan membuat pinjaman RM9,000. Setiap bulan, dia dikehendaki membayar RM1,100 selama 24 bulan atau setahun.
“Wang itu saya bayar sedikit hutang along tetapi kadar bunga yang tinggi iaitu lapan peratus sebulan menyebabkan pinjaman saya tidak banyak berkurang.
“Kemudian, saya pinjam lagi RM6,000 daripada along ketiga; RM3,000 (along keempat) dan terakhir RM2,000 awal tahun ini.
“Jumlah pinjaman saya hampir RM28,000 tetapi bayaran balik dua kali ganda dan sebulan saya perlu bayar lebih RM2,000 sedangkan gaji baru RM1,500,” katanya.
Aswad berkata, punca dia meminjam kerana namanya disenaraihitamkan akibat kegagalan membayar kad kredit berjumlah RM9,000 tahun lalu.
“Sejak itu, along lubuk duit bagi saya. Mudah untuk buat pinjaman... hanya beri penyata gaji dan dapat duit.
“Awal dulu, mereka ambil kad bank dan nombor pin kerana mahu ambil hutang apabila gaji masuk dan jika saya hendak duit baki, jumpa mereka atau mereka pindahkan ke akaun bank saya yang lain,” katanya.
Aswad yang mengakui tersilap langkah akibat terlalu menghambakan diri terhadap along, buntu mencari jalan penyelesaian.
“Baru sebulan saya menetap di sini dan ini kali keempat saya berpindah dan menukar sekolah anak bagi mengelak diburu along.
“Mereka telefon di tempat kerja hampir setiap hari, ekori siang dan malam, malah apabila terjumpa, mengugut mahu buang daerah atau mahu saya keluar dari kawasan ini,” katanya.
Menurutnya, akibat tertekan dengan situasi itu, dia mengajukan perkara berkenaan ke pelbagai pihak, namun tiada satu pun boleh membantu.
“Saya buntu, tiada sesiapa boleh membantu. Saya tidak tahu nasib kami sekeluarga pada masa depan,” katanya yang mengharap ada pihak sudi membantu.
Sementara itu, Reza, 34, berkata dia bingung memikirkan masalah itu, lebih-lebih lagi isterinya bakal bersalin anak sulung yang dijangka Julai ini.
“Ketika orang lain gembira untuk menyambut ahli keluarga baru, saya pula bimbang kerana selain tidak dapat membuat persiapan bayi, hutang semakin bertambah,” katanya.
Reza yang dua kali pindah rumah berkata, meskipun pinjaman dibuat hanya RM3,000, bayaran bulanan sebanyak RM500 sebulan membebankan.
“Gaji saya tidak sampai RM2,000 sebulan, jadi ada ketika saya dan isteri mengalami masalah kewangan. Bukan tak mahu pinjam rakan, tetapi mereka juga terdesak. Mahu atau tidak, along menjadi jalan terakhir,” katanya.
Bagi Izwan, 45, yang meminjam hampir 10 tahun dengan along berkata, dia terjerat apabila tiada pilihan untuk mendapatkan bantuan kewangan.
Katanya, pinjaman itu berpunca daripada kegagalannya mendapatkan pinjaman bank disebabkan pendapatannya tidak mampu membayar ansuran bulanan.
“Gaji saya RM3,000 sebulan, namun dengan empat anak dan isteri pula tidak bekerja dan sekarang saya sambung belajar di sebuah kolej, menyebabkan perbelanjaan saya tidak mencukupi.
“Jalan pintas, pinjam along. Mulanya berjalan lancar, tetapi lama kelamaan saya tak mampu bayar dan kini melarikan diri,” katanya yang meminjam hampir RM30,000.
http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Sunday/Setempat/20090621111907/Article/index_html
No comments:
Post a Comment