Sunday, June 21, 2009

Masalah rumit atasi pelacuran

KUALA LUMPUR: “Ia (pelacuran) menjadi masalah yang rumit dan bagai tiada kesudahannya. Hanya ada satu jalan penyelesaian — penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas perlu dilakukan segera.”

Demikian kata Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Mohd Hidayat Abd Rani, ketika mengulas masalah kegiatan pelacuran dan maksiat yang berselindung di bawah kendalian premis rumah kedai.

Menurut Hidayat, undang-undang sedia ada setakat ini seolah-olah tidak menggentarkan dalang di sebalik kewujudan masalah terbabit sehingga mereka berani melakukan kegiatan tidak bermoral itu sewenang-wenangnya, termasuk pada siang hari.

Dengan itu, katanya, tindakan dan penguatkuasaan berkala yang dirancang dengan teliti untuk membasmi masalah terbabit perlu dilakukan dengan lebih konsisten.

“Di pihak Jais, termasuk jabatan agama lain, penguatkuasaan dan serbuan di tempat yang disyaki melakukan aktiviti maksiat ini sentiasa dijalankan berdasarkan aduan dan siasatan yang dibuat (Jais).

“Ia masih tidak memadai. Lantaran itu, penguatkuasaan menyeluruh dan lebih efektif daripada semua pihak adalah jalan terbaik sebagai langkah pencegahan awal.

“Namun, ia perlu disokong penguatkuasaan undang-undang yang tegas,”
katanya.

Hidayat berkata, mengikut akta dan penguatkuasaan undang-undang Jais, kesalahan terbabit dengan masalah pelacuran termaktub di bawah sesyen 23.

“Jika didapati bersalah, pesalah berkenaan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dikenakan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun dan boleh dikenakan hukuman sebat tidak melebihi enam sebatan.

“Bagaimanapun, pendekatan diambil Jais lebih kepada berdakwah. Kita cuba ‘menyelamatkan’ akidah pesalah ini sebelum tindakan tegas diambil jika tiada jalan lain,”
katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, berkata polis sentiasa melakukan serbuan dan tangkapan terhadap mana-mana sindiket yang terbabit dengan masalah pelacuran.

Bagaimanapun, katanya, pihak berkuasa tempatan (PBT) memainkan peranan penting bagi menangi masalah itu kerana kuasa menarik balik lesen dan menutup premis tertakluk di bawah kuasa mereka.

“Kita tidak pejam mata dalam hal ini, malah kami sentiasa adakan kerjasama dengan PBT dan pihak berkuasa lain untuk melakukan serbuan dan tangkapan,” katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...