metahad@hmetro.com.my
PETALING JAYA: Ia bukan pusat hiburan dan bukan juga rumah urat atau spa. Yang pasti, ia menyediakan wanita yang sedia memberi khidmat seks dan lebih membimbangkan, ia dibuka seawal jam 12 tengah hari dan ditutup pada jam 8 malam.
Premis seperti ini kini menjadi tumpuan lelaki hidung belang, termasuk yang berkahwin, untuk melampiaskan nafsu serakah kerana tidak perlu menunggu waktu malam untuk menjalankan ‘projek’ masing-masing.
Sebaliknya, mereka sering mengunjungi premis yang selayaknya digelar ‘kedai syahwat’ itu ketika waktu rehat makan tengah hari atau selepas pulang dari pejabat sekitar jam 5 atau 6 petang.
“Memang pelanggan biasanya datang pada waktu makan tengah hari dan sekitar jam 5 petang. Kebanyakan mereka datang memakai pakaian kemas kerana baru pulang daripada kerja,” kata Mala, 19, pelayan di sebuah kedai syahwat yang dikesan Metro Ahad di bandar raya ini.
Wartawan mengesan kewujudan kedai syahwat itu selepas diberitahu oleh seorang pengunjung tetapnya yang hanya mahu dikenali sebagai Mahadi.
Menurut lelaki yang berusia 33 tahun dan berkahwin itu, ada sekurang-kurangnya tiga kedai syahwat di sekitar bandar raya ini, namun hanya satu yang biasa dikunjunginya.
“Bukan semua orang boleh masuk (ke kedai syahwat) kerana pintu hanya dibuka jika wajah pelanggan dikenali,” katanya.
Mahadi berkata, konsep kedai syahwat itu memang ‘caca merba’ kerana di dalamnya ada bar, mesin judi, sofa dan meja.
“Jika datang ke situ kita hanya perlu pesan minuman. Kemudian muncullah wanita berpakaian seksi untuk melayan kita.
“Pelayannya pula bukan seperti GRO (pelayan pelanggan di pusat karaoke) kerana mereka sedaya upaya mahu mengadakan hubungan seks dengan kita.
“Jika sekadar ‘ringan-ringan’, mereka tidak mendapat komisen daripada ibu ayam yang menetapkan kadar bayaran untuk hubungan seks. Jika pelanggan baik hati, dapatlah tip,” katanya.
Bagi membuktikan kebenaran dakwaan itu, wartawan Metro Ahad dibawa Mahadi ke kedai syahwat yang biasa dikunjunginya.
Sebaik tiba di lokasi, wartawan Metro Ahad cuba masuk tanpa ditemani Mahadi, namun pintu tidak dibuka. Selepas Mahadi muncul, baru pintu yang dilengkapi kamera litar tertutup, dibuka secara automatik.
Sebaik masuk, kami disambut seorang wanita lanjut usia yang dipanggil ‘mummy’ oleh Mahadi. Kedai itu dibahagi kepada tiga ruang utama iaitu ruang tengah, kiri dan kanan.
Ruang tengah menempatkan bar dan beberapa mesin judi dengan lampu suram, manakala ruang kiri adalah tempat untuk pelayan wanita melayan pelanggan sebelum dibawa ke ruang kanan untuk mengadakan hubungan seks.
Ruang kiri dan kanan disediakan tanpa lampu dan perlukan lampu suluh untuk ke ruang berkenaan.
Mahadi berkata, dengan hanya menggunakan sofa yang tempat sandarnya tinggi, di situlah hubungan seks dilakukan.
“Pelanggan lain tak nampak apa yang kita buat sebab tempatnya gelap.
“Ruangan itu boleh memuatkan empat pasangan pada satu-satu masa. Jika penuh, pelanggan perlu menunggu,” katanya.
Selepas memesan minuman dan duduk di ruang sebelah kiri, dua wanita datang melayan kami iaitu Mala dan Rita. Tanpa berselindung, mereka menawarkan perkhidmatan seks dengan bayaran RM110.
Mala yang berasal dari Indonesia memberitahu, dia sememangnya ditugaskan menggoda pelanggan supaya bersetuju mengadakan hubungan seks.
“Kami bukan seperti GRO. Jika sekadar datang untuk minum, lebih baik tidak payah datang.
“Kami mahu pelanggan yang menerima tawaran kami kerana daripada perkhidmatan itu baru kami mendapat wang. Jika tidak, kami sekadar mampu meminta tip yang biasanya diberi dalam jumlah kecil,” katanya.
Menurut Mala, sepanjang tiga tahun bekerja dia melayan pelbagai jenis pelanggan, termasuk golongan profesional berjawatan eksekutif dan jurutera.
Rita pula memberitahu, pelanggan yang datang bukan sekadar memuaskan nafsu di kedai syahwat, malah ada yang sanggup mengeluarkan duit lebih untuk membawanya keluar ke tempat lain.
“Kami dibayar hingga RM250 untuk langganan satu malam. Itu kelebihan bekerja di sini,” katanya.
Pemantauan wartawan Metro Ahad di dalam kedai syahwat itu mendapati ada sekurang-kurangnya lima pelanggan di dalamnya, ada yang memadu asmara dan bermain mesin judi.
Pelayan yang sedia memberi khidmat seks pula seramai lima orang dan semuanya warga Indonesia.
No comments:
Post a Comment