Sunday, June 21, 2009

Suara dari perut Wazata Zain



KEBOLEHAN menuturkan suara tujuh watak berbeza adalah keistimewaan Wazata.


KALAU anak-anak kecil kini asyik menonton rancangan kartun seperti Spongebob Squarepants, rakan sebaya mereka pada era 1980-an pasti ternanti-nanti siriCumi & Ciki.

Nostalgia telatah boneka seekor kupu-kupu dan monyet itu tidak sempurna tanpa memori terhadap pengendali watak Cumi dan Ciki iaitu Wazata Zain. Kemampuan beliau menghasilkan suara tanpa menggerakkan bibirnya sememangnya memukau penonton.

Kemampuan menguasai kebolehan ventrilokis ini merupakan hasil gigihnya menimba ilmu di perantauan. Melalui tajaan biasiswa Colombo Plan, Wazata ke Sydney, Australia untuk berguru di bawah tunjuk ajar Profesor Hyes. Wazata mengakui bahawa kursus yang dikutinya pada tahun 1980 itu bukanlah sesuatu yang mudah.

“Seorang ventrilokis perlu mempelajari pelbagai teknik termasuk skil pengawalan pergerakan bibir dan teknik pernafasan dengan mengawal diafragma. Penat dan perit latihan yang terpaksa saya lalui tapi berbaloi,” komen beliau.

Hasilnya, Wazata mampu untuk menuturkan suara tujuh watak berbeza tanpa menggerakkan bibirnya.

Menceritakan lebih lanjut mengenai skil ventrilokis itu, beliau mengatakan bahawa untuk mengeluarkan suara tanpa menggerakkan bibir boleh dilakukan dalam satu tempoh masa sahaja.

“Suara tersebut dikeluarkan dari perut. Lagi lama bertutur menggunakan suara dari perut, semakin penat seseorang itu,” ujar beliau.

Kariernya sebagai seorang ventrilokis menemui noktah pada tahun 1990. Sebelum pemergiannya ke Tanah Suci Mekah untuk menunaikan ibadah haji, ibunya menasihati beliau agar berhenti daripada pekerjaan tersebut.

Menuruti nasihat bonda, Wazata menyerahkan boneka-boneka kesayangannya kepada Muzium Negara.


CIKI, patung boneka yang terkenal pada 1980-an, ibarat sahabat karib Wazata.


Namun begitu, berakhirnya pengendalian siri Cumi & Cikitidak bermaksud Wazata berhenti terus daripada dunia hiburan. Wazata yang juga seorang bekas pegawai di Kementerian Pelajaran turut menulis skrip dan berlakon.

Sitkom Hang Setia di mana Wazata terlibat sebagai penulis skrip dan juga pelakon, terus mengekalkan populariti pelawak veteran ini. Sitkom hasil tangan Wazata juga pernah diperkatakan di Parlimen dek unsur-unsur sindiran halus terhadap ahli politik.

“Saya difahamkan pemimpin negara pun menonton Hang Setia kerana unsur sinis tersebut,” imbau bintang kelahiran RTM ini.

Dalam bidang perfileman, Wazata pernah menjadi pelakon pembantu filem Perawan Malam pada tahun 1988. Baru-baru ini pula, Wazata terlibat dalam penggambaran filem cinta komedi, Syurga Cinta dengan memegang watak sebagai seorang yang alim.

Luar daripada dunia hiburan, Wazata menguruskan sebuah stesen minyak sejak lima tahun lalu.

Suami kepada Salbiah Abd. Gani dan bapa kepada tujuh orang putera ini kini giat melibatkan diri dalam aktiviti pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Selain daripada menjadi Pengerusi Biro Agama dan Dakwah Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Wazata turut aktif dalam melakukan kerja-kerja amal dan keagamaan.

Seniman ini merupakan salah seorang anggota Sahabat HUKM dan sedang berusaha mencari dana untuk membantu golongan miskin.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0621&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_05.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...