KUALA LUMPUR: Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Jalan Davidson akan ditutup selama seminggu selepas pelajar tahun lima sekolah itu yang disahkan positif influenza A (H1N1) didapati menyebarkan virus itu kepada dua rakan sekelasnya.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, Majlis Keselamatan Negara bersetuju menutup sekolah itu sehingga 26 Jun ini dan kira-kira 2,100 pelajar serta kakitangan sekolah dikuarantin di rumah.
Ketika mengumumkan perkara itu selepas mesyuarat bersama pengurusan sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru di sini hari ini, Liow berkata, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempengerusikan Majlis Keselamatan Negara bersetuju supaya sekolah tersebut ditutup selama seminggu.
Beliau berkata, dua lagi sekolah yang mencatatkan kes tersebut iaitu di Petaling Jaya dan Shah Alam hanya akan ditutup sekiranya pihaknya mendapati berlakunya penularan tempatan bagi wabak itu.
Terdahulu ketika merasmikan kempen kesedaran influenza A (H1N1) di Batu 11, Cheras, di sini yang dianjurkan oleh MCA Bahagian Serdang, Liow berkata beliau telah mencadangkan penutupan sekolah itu selepas mendapati berlakunya penularan tempatan.
"Kami berpendapat sekolah itu patut ditutup. Selagi berlaku kes penularan tempatan walaupun satu kes, kita mesti mengambil langkah berjaga-jaga dan menutup sekolah," katanya.
Sebanyak lapan lagi kes dilaporkan hari ini menjadikan kes keseluruhan yang dicatatkan setakat ini meningkat kepada 50 kes.
Ia melibatkan lima pelajar sekolah, tiga pelajar tahun lima SJK (C) Jalan Davidson, seorang pelajar tahun lima dari Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Assunta 2 Petaling Jaya dan seorang pelajar tingkatan empat dari Sekolah Menengah Shah Alam.
Katanya, kementerian akan melihat pelbagai kemungkinan dan mengambil langkah-langkah yang perlu bagi memastikan virus itu tidak merebak ke sekolah-sekolah lain.
"Kita tidak mahu timbul sebarang masalah di sekolah itu, jadi kita perlu pastikan keselamatan pelajar diutamakan," katanya.
Beliau berkata, garis panduan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan mencadangkan supaya sekolah itu ditutup jika berlaku penularan tempatan.
http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2009/6/21/mstar_berita/20090621152435&sec=mstar_berita
No comments:
Post a Comment