KEMELUT rumah tangga penyanyi dan pendakwah Akhil Hayy dan isterinya, Maizawati Zainal berakhir dengan penceraian.
Keputusan itu disahkan oleh Hakim Syarie Mahkamah Rendah Syariah Ipoh, Mohd. Ridhuan Yusof.
"Semua dah selesai..jangan keruhkan suasana..saya tegaskan penceraian saya bukan disebabkan pihak ketiga.
"Ini ketentuan 'tuan punya dunia'..jalan hidup perlu diteruskan.
"Cukup-cukuplah gosipkan pihak yang satu lagi. Moga-moga semuanya dapat meneruskan kehidupan," ujar Akhil yang berkali-kali menegaskan penceraian mereka bukan disebabkan oleh pihak ketiga.
Ditanya kenapa dia berbuat demikian, Akhil berkata sebab spekulasi yang timbul.
Akhil berkata dengan penuh makna,"Kadang-kadang aku pohon setangkai bunga, Allah bagi pohon berduri; aku pohon rama-rama, Allah bagi ulat berbulu.....mula-mula saya kecewa tapi itu yang jadi.
"Allah dah letak keputusan yang baik dan saya ambil hikmah yang positif.
"Kita tiada ruang...orang panggil saya berceramah dan ini kehidupan peribadi saya. Itu (penceraian) hakikat dan lepas ni jangan sensasikan lagi. Doakan yang terbaik.
"Kredibiliti saya sudah banyak yang tercalar... tapi perjuangan perlu diteruskan," hujahnya.
Dalam pada itu, Akhil sempat lagi mengaitkan kes cerainya hari ini dengan PAS menang tipis dalam pilihan raya kecil Manek Urai, dia berkata:
"Takbir...semalam keputusan di Manek Urai dan hari ini keputusan saya."
Akhil yang kelihatan gembira itu juga memaklumkan yang program 'Cafe Akhil Hayy' dijangka akan disambung siarannya dalam masa terdekat ini.
Hasil persetujuan kedua belah pihak, hak penjagaan empat orang anak (hadanah) mereka diserahkan kepada Maiza manakala hak lawatan diberikan kepada Akhil pada bila-bila masa termasuk cuti sekolah dan perayaan.
Bagi anak-anak yang telah mumaiyiz (cukup umur) dibenarkan untuk tinggal dengan ibu atau bapa mereka mengikut keselesaan.
Melalui persetujuan itu juga, Akhil akan biayai keseluruhan keperluan am dan nafkah anak-anak termasuk tempat tinggal, persekolahan dan sebagainya.
Selain itu, Akhil perlu melunaskan bayaran ansuran kereta Gen 2 milik Maiza sebanyak RM500 sebulan selagi bekas isterinya itu tidak mendirikan rumah tangga.
Sementara itu, rumah yang didaftar atas nama bersama akan dikekalkan bahagian pada Maiza manakala bahagian Akhil akan diserahkan kepada empat orang anak dan dia menjadi peneraju rumah serta biayai ansuran dan bil-bil dalam rumah tersebut.
Seterusnya, Akhil diminta membayar nafkah edah sebanyak RM15,000 kepada Maiza dalam tempoh tiga kali suci.
Ditanya sama ada dia berpuas hati dengan keputusan penceraian itu, Akhil berkata 'orang beriman tidak akan puas selagi tidak jalankan tuntutan sunnah.'
Diaju pula tentang isu dia pernah meminta persetujuan Maiza untuk berkahwin dengan penyanyi Waheeda pada Februari lalu, Akhil berkata itu antara dia dan bekas isterinya lantas berkata 'buat apa saya nak beritahu wartawan?'.
Diasak pula dengan soalan adakah dia akan meneruskan niat untuk berkahwin dengan Waheeda selepas ini, Akhil enggan mengulas lanjut.
Hos program 'Cafe Akhil Hayy' ini hanya berkata dia tidak mahu melibatkan isu itu dengan penceraiannya sebaliknya mereka bercerai kerana masalah peribadi.
Sebelum Akhil pulang, dia sempat berjumpa dan bersalaman dengan anak sulung perempuannya.
Anaknya itu kelihatan sebak dan menangis tersedu-sedan saat memeluk Akhil.
No comments:
Post a Comment