Thursday, July 16, 2009

Lembut gigi daripada lidah

Isnin Julai 13, 2009

BEBERAPA hari lepas saya menerima sms seawal 3 pagi daripada seorang artis terkenal negara. Barangkali beliau tidak menyemak waktu di UK semasa menghantar sms berkenaan. Cuma di UK ketika ini siangnya memang awal. Waktu solat Subuh pun masuk seawal 3 pagi.

Kali ini mesej artis ini agak keras, meminta saya menggesa orang politik supaya membantah Kerajaan China mengenai pergeseran etnik yang membawa pembunuhan beramai-ramai umat di Wilayah Urumqi.

Ribuan lain yang ditangkap. Saya yang belum sempat membeli akhbar dan mendengar BBC hari berkenaan hanya dapat mengagak berita yang dimaksudkan.

Saya menghantar ucapan terima kasih atas semangatnya yang bagi saya lebih baik daripada sebahagian orang politik dan orang Islam yang lain yang langsung tidak mengambil pusing apa yang berlaku kepada saudara muslimnya.

Di sebalik watak seramnya, atau ‘ikan lagenda’ yang dilakonkannya, ada juga kesedaran dan simpati yang tinggi terhadap umat Islam, atau ‘hak kemanusiaan’ yang berlaku di sana-sini.

Seperti biasa seawal pagi, apabila buka sahaja kedai di Pekan Lampeter yang penuh damai dan indah ini, saya akan keluar membeli akhbar dan mencari berita-berita penting.

Ternyata seperti biasa, di Barat ini jika yang menjadi mangsa itu umat Islam beritanya tidak sebesar mana. Di samping sesetengah akhbar menyulami berita tersebut dengan menyatakan bahawa penunjuk perasaan menjadi mangsa seperti di Iran.

Mereka cuba meringankan berita berkenaan, tiada istilah terrorist, tiada istilah extremist yang ditempelkan. Bahkan berita pembunuhan wanita muslimah Mesir di Germany disebabkan tudung yang dipakainya, langsung tidak saya temui.

Mungkin ada di celahan berita-berita yang kecil. Itulah media apabila berada di tangan mereka yang tidak adil.

Wilayah Urumqi yang bergolak itu pernah saya lawati pada tahun 2007 bersama dengan rombongan Kerajaan Perlis ketika saya menjadi Mufti Perlis. Memang wilayah itu dipenuhi oleh umat Islam dan ada masjid yang agak besar di tengah kotanya.

Bahasa mereka pun agak asing dan mereka juga mengguna huruf Arab dalam tulisan mereka. Ini saya perhatikan ketika menonton televisyen mereka. Salah seorang yang membawa kami ketika itu menceritakan kezaliman dan penindasan terhadap umat Islam di wilayah tersebut.

Demikian juga apa yang diceritakan oleh ‘orang-orang masjid’ yang kami lawati. Masjid diganggu, orang Islam ditangkap dan dibunuh bukan cerita baru. Saya masih terbayang sebuah masjid yang amat usang di satu perkampungan kuno yang kami lawati. Terasa sunyi dan tenang namun terbiar di cerok yang sunyi.

Ada masjid yang kami pergi untuk solat Jumaat, Masya Allah guru yang membaca kitab hadis hari itu begitu lancar dan tepat menyebut nama para perawi dalam sanad-sanad hadis.

Namun sudah tua. Kebanyakan yang memenuhi masjid, sudah lanjut usia mereka. Saya yang ketika itu berada di hadapannya termenung mengkagumi kegigihannya menyampaikan Islam dalam keadaan yang bahaya dan sukar, dan terfikir bagaimanakah pula nanti nasib masa depan generasi muslim di wilayah berkenaan.

Perasaan sedih dan hiba mengenangkan kesenangan yang kita kecapi dibandingkan kesukaran mereka untuk hidup sebagai ‘seorang muslim’. Saya mengabadikan perasaan itu dalam sebuah puisi ‘Islam China Yang Hampir Dilupa’ yang akhirnya diambil dan dijadikan lirik lagu.

Saya tidak pasti apakah ia termasuk lagu yang di’gam’ atau tidak oleh RTM. Saya pun sudah lama tidak sempat mengikuti perkembangan itu. Lirik terakhir yang saya ingat diminta oleh Mawi bertajuk ‘Sahabat Sejati’, saya rasa itu tidak di‘gam’.

Berbalik kepada nasib umat Islam di Urumqi dan juga di tempat lain. Perasaan persaudaraan Islam kita tidak memenuhi apa yang disebut oleh Rasulullah s.a.w: “Bandingan orang-orang mukmin dalam kasih-sayang, kesian dan simpati sama seperti satu jasad.

Apabila satu anggota merasa sakit, maka seluruh angota lain turut berjaga malam dan demam” (Riwayat Muslim). Ada beberapa tahap umat Islam dalam hal ini. Ada yang benar-benar bersemangat dan cuba melakukan apa yang termampu.

Ada yang sekadar, marah atau geram ketika mendengar berita, kemudian lupa atau dilupakan oleh urusan dunianya. Ada yang langsung tidak ambil tahu apa yang berlaku. Lebih buruk lagi, ada yang tahu tetapi menganggap itu tiada kena mengena dengannya. Sebenarnya, seperti yang dikatakan oleh artis berkenaan, orang politiklah yang paling berkesan untuk membantah. Pemimpin-pemimpin negara Islam mesti menyatakan bantahan dan pendirian yang tegas mengenai nasib saudara-saudara muslim kita.

Janganlah memikirkan soal kepentingan ‘kebendaan’ sahaja dalam arena politik, fikirlah tentang tanggungjawab seorang individu muslim untuk bertindak dengan kadar kemampuannya dan perkara ini akan disoal oleh Allah di akhirat nanti.

Apakah kerana China sedang menjelma sebagai ‘kuasa ekonomi dunia’ maka dia boleh buat apa sahaja terhadap orang muslim dan kemanusiaan? Malanglah, jika para pejuang hak asasi manusia dari negara-negara yang bukan Islam, lebih lantang daripada kita.

Hari ini, barangkali semua parti politik melayu berkerjasama dengan kaum-kaum lain, maka tidak ramai yang berani memberikan kritikan lantang lagi. Jika ada pun, bersulam berlapik sehingga menjadi ‘ceroi’. Padahal, tiada kaitan antara kekejaman Kerajaan China dan etnik cina di Malaysia.

Orang cina Malaysia adalah rakyat Malaysia. Ketaatan dan kesetiaan mereka kepada negara ini. Tiada kaitan antara mereka dan Kerajaan China untuk mereka merasa sensitif.

Ya, kalau Hindraf memang membawa isunya ke India. Hindraf juga membentang isunya di House of Lords, UK tentang kezaliman pentadbiran orang Islam di Malaysia terhadap penganut hindu. Malaysia digambarkan seakan cuba melakukan ‘pembersihan etnik’.

Apa yang digambarkan berlebih-lebihan. Sedihnya, ada pula orang Islam yang sokong. Begitulah isu itu sampai ke Negara India. Saya tidak tahu, apakah Negara India layak untuk bercakap tentang keadilan terhadap penganut-penganut agama jika dilihat apa yang mereka lakukan terhadap umat Islam di sana.

Tahun 2002, di Gujerat ribuan umat Islam dibunuh, dibakar hidup-hidup, dirogol dan berbagai perbuatan yang begitu kejam dari segi kemanusiaan. Laporan rasmi tempatan India dan antarabangsa mendakwa sebahagiannya dilakukan di bawah penyeliaan Polis India.

Ada gerakan di India yang kerjanya memburu orang Islam. Mereka bebas di India, dan Amerika tidak pula menyenaraikan mereka sebagai terrorist. Dr Zakir Naik juga pernah berpidato panjang tentang hal ini dalam ceramahnya ‘Is Terrorism A Muslim Monopoly’ yang tersebar luas.

Akhbar Daily Mail UK (8 Julai 2009) melaporkan penyeksaan terhadap tahanan rakyat British yang berketurunan Pakistan. Kuku-kukunya dicabut, dan dia serta muslim yang lain diseksa kejam dengan kerjasama antara Polis British dan Pakistan.

Ini di sebuah negara yang sering bercakap tentang hak dan kebebasan, walaupun soal racialism atau perkauman itu tidak dibenarkan, namun dari segi perlaksanaanya ia berlaku. Lihat pula di Selatan Thai, di Burma, di Philipina dan berbagai lagi. Kemudian, bandingkan ini semua dengan sikap orang Islam tehadap bukan Islam di negara-negara yang majoritinya umat Islam?

Walaupun ada kelemahan di sana-sini, namun secara bandingannya ia jauh lebih berperikemanusiaan dari apa yang menimpa umat Islam di seluruh dunia.

Saya bukan hendak membangkit kemarahan sesiapa, saya mengimpikan setiap kita terutama orang politik sentiasa bersuara jelas tentang hak dan nasib umat Islam dan manusia sejagat.

Bertindak dengan kadar kemampuan yang dimiliki agar memberikan kesan yang positif dan menunjuk nilai persaudaraan kita. Janganlah kita hanya garang dan ‘cenge’ sesama sendiri, kendur dan takut apabila hendak menyatakan hak kita di hadapan ‘orang lain’.

Mana hilangnya ayat Allah yang menyebut: (maksud) “Wahai orang-orang yang beriman! sesiapa dalam kalangan kamu berpaling tadah dari agamanya, maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Dia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat rendah diri terhadap orang-orang yang beriman dan menunjukkan kemuliaan diri terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela.

Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang Dia diberikan kepada sesiapa yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi meliputi pengetahuanNya”. (Surah al-Maidah, ayat 54). Namun, demikianlah kita, jika sesama kita bukan main lagi ‘lagaknya’, namun dengan orang lain, ‘lembut gigi daripada lidah’.

http://mstar.com.my/kolumnis/cerita.asp?file=/2009/7/13/mstar_kolum_minda_mufti/20090712105313&sec=mstar_kolum_minda_mufti

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...