Thursday, July 16, 2009

Usah terpedaya

Oleh Sri Ayu Kartikawati Amri
kartika@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: “Masyarakat perlu membetulkan cara pemikiran mahu kaya cepat, supaya mereka tidak diperbodoh dengan sewenang-wenangnya,” kata Pakar Motivasi dan Penceramah, Zawawi Yusof.

Menurutnya, golongan yang mahu untung banyak tetapi kerja sedikit itulah yang selalunya mudah diperdaya dan diperbodohkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Masyarakat kita terlalu mudah ‘melayan’ risalah yang tidak diketahui asal usulnya asalkan dapat ganjaran lebih besar dengan mengeluarkan modal sedikit.

“Malah mereka mudah terpedaya hanya menggunakan nama Islam dan percaya bulat-bulat apa yang ditawarkan sedangkan kita tahu tiada pelaburan boleh untung sehingga RM600,000 jika melabur RM30 saja,”
katanya.

Katanya kerajaan perlu bertindak tegas terhadap orang yang ‘menjual’ idea merosakkan (risalah) terbabit supaya skim cepat kaya menggunakan nama agama itu tidak berleluasa sehingga sukar dibendung.

Beliau mengulas laporan muka depan Harian Metro, semalam, mengenai sindiket skim cepat kaya yang aktif di Kedah dengan menggunakan konsep amal jariah sesama Islam dan sumbangan ummah.

Difahamkan, risalah mengenai skim tanpa nama dan siapa syarikat penciptanya itu kini diedarkan di tempat ibadah seperti di surau serta masjid, selain taman perumahan yang diketuai atau didiami ramai keluarga Islam terutama di luar bandar.

Malah, pengendali skim juga mendakwa program itu amalan tanpa wujud syak wasangka dan jika dijalankan secara ikhlas dengan menderma RM30 sekali seumur hidup akan menyebabkan saudara seagama ‘senang’.

Ketua Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata risalah skim cepat kaya sudah lama diedarkan, pengguna perlu berhati-hati kerana apa yang ditawarkan ‘indah khabar daripada rupa’.

“Tak rugi jika kita tidak ‘melayan’ risalah yang menjanjikan tawaran menarik kerana lagi ramai yang terbabit lebih banyak risalah akan diedarkan untuk mengaburi mata pengguna,” katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...