maiamalina@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: “Dia membesar seperti kanak-kanak normal lain dan makan makanan biasa termasuk makanan ringan, tapi kegemarannya roti bakar,” kata Valentine Cawley, 41, menceritakan keunikan anaknya yang dianggap genius apabila memasuki universiti pada usia lapan tahun.
Ainan Celeste Cawley, yang kini berusia sembilan tahun, berdarah campuran Irish-Melayu mula terkenal dan mendapat perhatian ramai kerana kepintaran luar biasanya dalam dua mata pelajaran sains iaitu kimia dan fizik, malah muncul kanak-kanak paling muda di dunia lulus subjek fizik peringkat `O Level’.
Pencapaian itu dianggap luar biasa kerana sebelum ini kanak-kanak pintar dan genius hanya mampu menguasai satu subjek pada satu masa.
Cawley yang bertugas sebagai editor majalah seni berkata, anak sulung itu membesar seperti kanak-kanak lain, melainkan dia mempunyai kepintaran luar biasa yang tiada pada budak sebayanya selain memiliki daya pemikiran cergas, 'cepat tangkap' dan responsif.
“Saya tidak melihat Ainan berlainan daripada rakan sebayanya, cuma pada kami sekeluarga, dia istimewa kerana keupayaan serta kepintarannya menakluk subjek fizik dan kimia dengan cepat tanpa mengikuti kelas formal.
“Malah, ketika isteri, (Syahidah Osman Cawley, 30,) mengandungkan Ainan, dia seperti wanita mengandung lain serta tidak pernah mengidam makanan atau benda yang pelik-pelik.
“Cuma selepas Ainan dilahirkan kami menyedari sesuatu yang berbeza apabila dia mengeluarkan bunyi seperti perkataan 'air' untuk minum ketika usianya baru mencecah dua minggu,” katanya ketika dihubungi di Singapura, malam tadi.
Bercerita lanjut mengenai keunikan anaknya, Cawley, graduan lulusan Universiti Cambridge berkata, Ainan sudah boleh merangkak pada usia empat bulan, berjalan pada usia enam bulan dan berlari ketika mencecah usia lapan bulan, sekali gus mula membaca ayat pertamanya.
“Pada usia setahun, Ainan sudah mula membaca dengan lancar tanpa bantuan saya atau isteri. Ketika mengunjungi ibu mentua, (Sabariah Abdul Wahab) di Johor, dia menunjukkan kebolehannya dalam kimia.
“Usianya ketika itu baru enam tahun, tapi dia sudah menunjukkan minat mendalami ilmu sains apabila membaca buku teks kimia yang dijumpai di rumah neneknya, sebelum ditegur ibu saudara yang pelik melihat dia seolah-olah faham subjek terbabit.
“Ainan diberi kertas ujian kimia untuk diselesaikan dan dia menjawab dengan betul semua soalan,” katanya yang bangga dengan pencapaian anaknya.
Menurutnya, kanak-kanak yang memiliki kepintaran luar biasa selalunya hanya bijak dalam satu mata pelajaran, tetapi Ainan luar biasa kerana turut bijak dalam subjek fizik, selain kimia yang amat diminatinya.
Ainan mempunyai dua adik lelaki, Fintan Nadym Cawley, 6, dan Tiarnan Hasyl Cawley, 3.
Cawley berkata, Ainan mengambil peperiksaan bagi mata pelajaran fizik peringkat O Level kendalian London Edexcel, Januari lalu di British Council Singapura ketika usianya menjangkau sembilan tahun sebulan.
Sebelum itu, Cawley menghantar Ainan menduduki peperiksaan bagi subjek kimia peringkat sama yang turut dikendalikan London Edexcel, dua tahun lalu, sekali gus meletakkannya sebagai orang paling muda lulus peperiksaan O Level ketika itu.
Justeru, bagi tidak mensia-siakan keupayaannya, Ainan dihantar bersekolah bersama kanak-kanak seusia dengannya selain menjalani pembelajaran intensif di rumah untuk subjek fizik beberapa bulan lalu, sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang kimia di Politeknik Singapura, tahun lalu.
“Sudah setahun Ainan menuntut di Politeknik Singapura dan dia kini mengikuti pengajian peringkat ijazah dalam jurusan kimia, kebanyakannya membabitkan kursus pelajar tahun tiga dicampur dengan tahun dua.
“Selain dua subjek teras ini Ainan juga menunjukkan kecenderungan dalam matematik dan biologi dan dia makin mahir serta menggemarinya,” katanya.
Cawley memuatkan catatan mengenai perkembangan harian anaknya itu dalam laman web www.scientific-child-prodigy.blogspot.com.
http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090716071445/Article/index_html
No comments:
Post a Comment