ibrahim@hmetro.com.my
2010/03/05
KLUANG: Ibu tunggal yang mendakwa tidak dilayan setiap kali membuat permohonan untuk mendapatkan bantuan kewangan melanjutkan pelajaran anaknya ke institusi pengajian tinggi (IPT) sebenarnya hanya sekali membuat permohonan itu kepada pejabat agama daerah.
Selain itu, dakwaan wanita berusia 40 tahun itu bahawa anak perempuannya tidak pernah menerima bantuan tidak benar kerana Baitulmal pernah memberikan bantuan kewangan untuk pendaftaran anaknya ke IPT sebanyak RM400 pada November 2009.
Bagaimanapun, wanita berkenaan tidak pernah datang ke Pejabat Agama Kluang untuk membuat permohonan susulan menyebabkan bantuan tidak dapat disalurkan kepada keluarganya.
Pegawai Tadbir Agama Kluang, Mohd Khalil Md Noor, berkata setiap orang yang ingin mendapatkan bantuan perlu mengikut prosedur ditetapkan antaranya membuat permohonan bertulis bagi membolehkan jabatan memproses bantuan.
“Sebelum ini, wanita itu ada datang ke Pejabat Agama Johor Kluang untuk mendapatkan bantuan kemasukan anak ke IPT dan Baitulmal sudah memberikan bantuan sebanyak RM400.
“Biasanya, penuntut yang melanjutkan pelajaran akan mendapat pinjaman lain atau biasiswa menyebabkan mereka tidak lagi memerlukan bantuan Baitulmal,” katanya.
“Bagaimanapun, kami difahamkan permohonan pinjaman anak wanita itu ditolak dan sekiranya wanita itu datang membuat permohonan lain, kami sedia membantu kerana mempunyai peruntukan,” katanya.
Menurutnya, wanita itu tidak pernah membuat permohonan susulan menyebabkan pihaknya berpendapat anak wanita itu menerima biasiswa seperti orang lain. Katanya, bantuan RM400 yang diberikan itu mengikut kadar ditetapkan dengan pengajian sijil, diploma atau ijazah mempunyai kadar berbeza.
Bantuan bagi sijil, katanya, kemasukan di negeri Johor ialah RM300, Sabah dan Sarawak RM500, Selangor dan Kuala Lumpur RM400. “Jadi, bantuan RM400 adalah betul, namun sekiranya seseorang itu mengikuti diploma dan ijazah, jumlah bantuannya lebih besar.
“Selain itu, pada 24 Februari lalu, kami ada berbincang dengan kaunselor Sekolah Menengah Tinggi Kluang yang ingin memberikan bantuan kepada wanita ini melalui PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru). “Kami tiada halangan dan bersetuju membayar semula wang berjumlah RM2,878 kepada Tabung PIBG sekolah kerana PIBG sekolah itu bersetuju mendahulukan bantuan,” katanya.
Menurutnya, penyerahan cek bantuan itu diserahkan kepada wanita berkenaan pada 1 Mac lalu dan belum sempat PIBG membuat tuntutan, berita mengenai wanita itu disiarkan di akhbar.
Katanya, pada 3 Mac lalu barulah wakil PIBG sekolah berkenaan datang menyerahkan dokumen Tuntutan Bayaran Pembiayaan Yuran anak wanita itu.
“Pada tarikh sama, wanita berkenaan datang buat kali pertama selepas menerima bantuan pertama (yuran pendaftaran anak) untuk memproses Borang Bantuan Sara Hidup sebelum dihantar ke Ibu Pejabat,” katanya.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Baitulmaladabantu/Article/index_html
1 comment:
Sile buat kerja kerana allah. Kita yg patut cari orgvutk dibantu dn bukn suruh org dtg banyak kali utk memohon. Tah2 wanita tu tdk berkenderaan. Ingt la duit yg anda pegang adalah amanh rakyat. Jgn buat kerja haram. Cari mereka bantu mereka. Sya x rela duit yg sya amanahkn diperlakukn bergini. Org yg layak tdk mendapat bantuan. Sya sumpah mereka yg bergini!
Post a Comment