Saturday, March 6, 2010

Cemburu tiada anak

Oleh Sarah Zulkifli dan Ahmad Tajol Ansar Ibrahim
am@hmetro.com.my
2010/03/05

PETALING JAYA: Cemburu melihat kebahagiaan keluarga jirannya yang mempunyai anak, seorang kelindan lori dipercayai bertindak di luar batasan apabila tergamak mendera dengan memijak anak tetangganya itu sehingga mati akibat kecederaan dalaman yang serius.

Malah, selepas menyedari kanak-kanak itu sudah tidak bernyawa, suspek segera membawanya ke klinik dan cuba menyembunyikan perbuatannya dengan mendakwa mangsa mati kerana tercekik gula-gula.


Bapa mangsa, S Karigalan, 42, berkata dia tidak menyangka jirannya itu boleh bertindak keji dan tidak berperikemanusiaan hanya kerana cemburu kebahagiaan keluarganya.


“Hanya kira-kira enam bulan saya dan keluarga mengenalinya (suspek) dan tidak menyangka dia tergamak memperlakukan anak pertama saya sedemikian rupa,” katanya menceritakan insiden tragis menimpa anaknya yang berusia 18 bulan itu.


Ibu mangsa, K Thilagawathy, 23, yang ditemui di rumahnya di Pangsapuri Damansara Bistari, SS 2/72, dekat sini, masih trauma dan lebih banyak mendiamkan diri selain tidak bermaya.


Harian Metro difahamkan, suspek diminta ibu mangsa untuk menjaga anaknya sebentar sementara dia dan suami menyelesaikan urusan peribadi dan tidak menyangka tragedi berkenaan boleh berlaku.

Lelaki terbabit yang berusia 33 tahun dipercayai cemburu melihat pasangan jirannya yang mempunyai dua anak sedangkan dia dan pasangannya yang mendirikan rumah tangga sekian lama belum mempunyai anak.


Dalam kejadian jam 10 hingga 12 malam kelmarin, mangsa, K Hareswara, menemui ajal selepas dipercayai didera suspek ketika dibawa bersiar-siar di sebuah taman permainan kanak-kanak berhampiran pangsapuri berkenaan.


Pada mulanya, lelaki terbabit mendakwa kanak-kanak itu menjadi lemah selepas memakan gula-gula yang diberikannya, namun selepas pemeriksaan rapi dijalankan, doktor menemui beberapa kesan lebam pada badan mangsa selain kecederaan dalaman yang serius.


Doktor yang sangsi dengan hasil pemeriksaan itu segera menghubungi polis sebelum suspek ditahan kerana disyaki mendera mangsa sehingga mati.


Sementara itu, datuk mangsa, A Krishnamoorthy, 50, turut sugul mengenangkan kejadian yang menimpa cucu kesayangannya, namun menerimanya dengan tabah.


“Dia (Hareswara) seorang kanak-kanak yang periang, malah sudah pandai menyebut nama ibunya selain gemar melakar abjad tertentu jika diberikan pensel dan kertas.


“Kini segalanya sudah berubah, malah hanya tinggal adiknya yang berusia empat bulan menemani kami sekeluarga,”
katanya.


Krishnamoorthy yang kesal dengan kejadian itu meminta pihak berkuasa mengenakan hukuman setimpal terhadap suspek yang menyebabkan kematian cucunya itu.


“Saya nasihatkan orang ramai jangan terlalu mempercayai orang lain dan membenarkan mereka menjaga anak-anak yang masih kecil bagi mengelakkan kejadian sama berulang. Biar kejadian ini menjadi pengajaran kepada masyarakat,” katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...