Saturday, March 6, 2010

Empat kelemahan

Oleh Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my
2010/03/06

SERDANG: Kegagalan untuk mempamerkan kemahiran insaniah atau ‘soft skills’ dan menepati kehendak majikan menjadi punca pengangguran dikalangan lepasan universiti.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata tanpa soft skills mahasiswa tidak mampu bersaing dalam dunia pekerjaan sebenar dan ia turut disokong hasil kajian Jobstreet.com pada tahun lalu.


“Sebanyak 250 syarikat kerajaan dan swasta terbabit kajian berkenaan mengenal pasti empat kemahiran yang tidak dimiliki pelajar iaitu komunikasi, nilai dan etika, kepemimpinan serta pemikiran kritis.


“Berikutan itu, kementerian sudah melaksanakan kemahiran insaniah dikalangan pelajar melalui kursus kokurikulum berkredit di semua institusi pengajian tinggi awam (IPTA),” katanya ketika majlis perasmian Seminar Sehari Amalan terbaik Kemahiran Insaniah, Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini, semalam.


Beliau berkata, pelaksanaan sistem berkredit dalam kehidupan pelajar memberi peluang kepada mereka untuk meningkatkan kemahiran insaniah secara tidak langsung apabila terpaksa menyertai program yang dianjurkan itu.


Katanya, kementerian bakal memperkenalkan bengkel ‘Training of Trainers (Tot) bagi kursus kokurikulum berkredit pada 12 Mac depan.

Bengkel berkenaan akan memberi tumpuan kepada aspek kandungan, kaedah penyampaian dan penafsiran.


Beliau berkata, bagi mengenal pasti tahap penguasaan pelajar dalam kemahiran insaniah, Jabatan Pengajian Tinggi (JPT) menjalankan kajian ke atas 20 IPTA dan 38 institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di seluruh negara sejak Februari lalu.


Mengulas mengenai pembabitan agensi swasta yang menawarkan latihan industri, beliau berkata mereka (agensi swasta) juga memainkan peranan penting dalam penyediaan sumber tenaga kerja.


Majlis yang dihadiri Naib canselor UPM, Prof Datuk Dr Nik Mustapha Raja Abdullah turut melancarkan buku berjudul ‘Tujuh Kemahiran Insaniah Pelajar: Huraian dan Pengukuran’.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Empatkelemahan/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...