KUALA LIPIS: “Dia seorang pekerja yang baik dan tekun. Malah, dia juga ringan tulang dan tidak pernah membantah.
“Namun, saya tidak menyangka di sebalik sifat terpujinya itu dia tergamak melarikan Rozita dan membawa pulang ke negara asalnya di Lombok Timur, Indonesia,” kata Shahrul Nizam Romainoor, 27, ketika ditemui, di sini, semalam.
Shahrul Nizam adalah majikan kepada pemuda Lombok didakwa melarikan wanita tempatan, Rozita Mat Ali, 30, yang juga seorang daripada pekerjanya pada 14 Februari lalu.
Menurutnya, pemuda terbabit dikenali sebagai Hamdan, 21, bekerja sebagai penoreh di kebun getahnya di perkampungan Orang Asli di Pos Betau, di sini, sejak tiga tahun lalu.
“Manakala, Rozita pula sudah lapan tahun bekerja sebagai pelayan di kedai makan milik saya di perkampungan sama. Dia juga pekerja yang baik walaupun seorang pendiam.
“Kedua-duanya pekerja yang baik dan rajin malah tidak mendatangkan masalah kepada saya dalam urusan seharian. Oleh itu, saya tidak menyangka kejadian ini akan berlaku,” katanya.
Katanya, dia dimaklumkan mengenai kehilangan Rozita selepas wanita itu dikatakan tidak menjawab panggilan telefon serta khidmat pesanan ringkas (SMS) ibu bapanya.
“Saya terkejut apabila diberitahu mengenai kejadian ini kerana tidak nampak mereka menjalinkan hubungan cinta.
“Malah, Rozita yang tinggal di Kuala Medang juga kerap balik ke rumahnya setiap hujung minggu dan dia juga tidak mempunyai sebarang perselisihan faham serta amat rapat dengan keluarganya,” katanya.
Shahrul Nizam berkata, dia berharap kedua-dua mereka dapat kembali semula ke tanah air dan bekerja dengannya serta menjalani kehidupan seperti biasa walaupun sudah berkahwin.
Sementara itu, ibu Rozita, Jariah Ishak, 60, merayu bantuan kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membantu mengesan anaknya di Lombok dan membawa pulang ke tanah air.
“Sejak kehilangan Rozita, fikiran saya terganggu kerana memikirkan keselamatannya di negara orang. Jika benar dia menjalinkan hubungan cinta dengan lelaki dari Lombok Timur itu, kami sekeluarga reda.
“Kami menerima siapa saja pilihan hatinya untuk dijadikan suami asalkan mengikut peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa. Malah, kami juga pasrah jika betul lelaki itu pilihan Rozita dan sudi untuk mengadakan majlis pernikahannya di sini,” katanya.
Akhbar ini pada 4 Mac lalu melaporkan akibat panahan cinta jejaka Lombok, seorang pembantu kedai makan dari Kuala Medang tergamak meninggalkan keluarganya dan lari mengikut lelaki terbabit.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Licikdisebaliksifatterpuji/Article
No comments:
Post a Comment