Saturday, March 6, 2010

Cemburu arwah ada teman baru

2010/03/05

ALOR STAR: “Kami sekeluarga pernah menasihatkan arwah supaya menjauhkan diri daripada wanita terbabit kerana mereka kelihatan seperti pasangan kekasih,” kata Shafinaz Mohd Shariff, 40, kakak Suhana, 26, yang maut selepas ditikam tujuh kali oleh rakan sekerjanya yang juga wanita di Lorong Kristal, Taman Kristal, malam kelmarin.

Menurutnya, dia banyak kali menasihatkan adiknya itu, tetapi arwah tetap mahu berkawan dengan wanita terbabit.


“Wanita itu mungkin cemburu kerana arwah kini berkawan dengan seorang lelaki yang baru dikenalinya dan mungkin itu puncanya mereka bergaduh,” katanya ditemui di Unit Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, semalam.


Katanya, dia pernah melarang adiknya berkawan terlalu rapat dengan suspek kerana bimbang ia akan menimbulkan masalah antara mereka berdua.


“Saya bimbang kerana mereka terlalu rapat sehingga nampak seperti pasangan kekasih. Mereka sudah lama berkawan iaitu sejak tujuh tahun lalu dan hubungan mereka sangat baik hingga sekarang.


“Pada mulanya kami tidak mengesyaki apa-apa kerana mereka berdua seperti adik-beradik, tetapi lama kelamaan kami nampak hubungan itu sudah lain, seperti sepasang kekasih.

“Suspek juga pernah datang ke rumah kami beberapa kali termasuk makan bersama dan sebab itu saya tidak sangka dia sanggup bertindak di luar batasan (tikam arwah),” katanya.


Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam kelmarin, Suhana dari Kota Tanah di sini, ditemui terbaring di belakang Perodua Viva putih miliknya manakala suspek yang berusia 33 tahun cedera parah di dada dan tangan kiri selepas menikam dirinya.


Difahamkan, seorang pengawal keselamatan dikenali Mohd Faizal yang membuat rondaan di kawasan lorong berkenaan terkejut melihat kedua-duanya terbaring menahan kesakitan berhampiran kereta berkenaan.


Pengawal terbabit terus menghubungi ambulans dan polis untuk memaklumkan kejadian itu.


Sementara itu, jenazah Suhana selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Seberang Perak, di sini, selepas solat Asar semalam.


Suasana hiba menyelubungi keluarga Suhana, malah ada yang menitiskan air mata kerana tidak dapat menahan sedih berikutan kematian mangsa.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...