Saturday, June 26, 2010

Hidup terbiar disisih 4 anak

Oleh Arifin Salleh
am@hmetro.com.my
2010/06/26

ALOR GAJAH: Seorang warga emas kini hidup sebatang kara apabila mendakwa disisihkan empat anak lelakinya selepas berpisah dengan bekas isteri akibat mengalami penyakit urat saraf kira-kira 19 tahun lalu.

Lelaki berkenaan, Subuh Baba, 70, dari Kampung Kundur, Padang Sebang, di sini, turut mendakwa keputusan melepaskan isterinya terpaksa dibuat selepas dicabar keluarga mentuanya.

Subuh yang berasal Singapura, berkata dia mengahwini bekas isterinya itu selepas beberapa tahun merantau ke negara ini bagi mencari rezeki dan mereka dikurniakan empat anak lelaki.

Bagaimanapun, katanya, dia kemudian diserang penyakit urat saraf sehingga tidak mampu bekerja selain gagal memberi nafkah zahir dan batin kepada isteri sehinggakan wanita berkenaan terpaksa bekerja di sebuah kilang untuk menambah pendapatan keluarga.


“Bagaimanapun, isteri mula buat perangai sebelum meninggalkan saya bersendirian sehinggalah keluarganya meminta saya melepaskan anak mereka.


“Akibat tiada pilihan, saya terpaksa berbuat demikian kerana tidak mampu melawan kehendak takdir kerana tidak sanggup menanggung derita dengan perbuatan isteri sedangkan hubungan kami tidak berdepan dengan sebarang masalah,”
katanya ketika ditemui, di sini, semalam.


Menurutnya, lebih memilukan apabila keempat-empat anaknya yang kini berusia antara 35 dan 41 tahun yang ditatang bagai minyak penuh ketika kecil menyisihkan dirinya tanpa sebarang khabar berita hingga menambahkan lagi penderitaan yang ditanggung.


Menurutnya, anak memberi alasan dirinya tidak memberi tumpuan kepada mereka sejak kecil sedangkan dia bekerja di Singapura dan hanya akan pulang menjenguk keluarganya setiap enam bulan sekali.


“Akibat itu, saya kini hidup sebatang kara dengan menghabiskan sisa hidup di rumah pusaka peninggalan bekas mentua dan mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM230 sebulan selain baucar makanan bernilai RM150 daripada Majlis Agama Islam Melaka (Maim).

“Hendak harap pemberian anak memang tak adalah, kalau ada pun apabila tiba Aidilfitri, tetapi mereka tidak masuk ke rumah mungkin kerana malu melihat keadaan saya yang mendiami rumah usang ini,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Hidupterbiardisisih4anak/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...