am@hmetro.com.my
2010/06/26
TELUK INTAN: “Emak, saya mahu balik cepat. Saya lapar. Sudah empat hari empat malam tidak makan,” kata Dewi Kartini Ibrahim, 17, sebaik bertemu ibunya, Fatimah Sulaiman, 50, sebelum kedua-dua mereka berpelukan dan menangis di Balai Polis Teluk Intan, semalam.
Sebelum ini, Dewi Kartini dilaporkan hilang dan tidak pulang ke rumah sejak petang Selasa lalu selepas keluar ke bandar Teluk Intan mencari kelengkapan sekolah.
Dia kemudian ditemui dalam keadaan tidak terurus dan tidak bermaya di stesen bas Bandar Baru Teluk Intan kira-kira jam 2.45 petang semalam oleh beberapa anggota polis.
Selepas empat hari menghilangkan diri dan kisahnya dipaparkan di beberapa akhbar tempatan kelmarin, Dewi Kartini, pelajar sebuah sekolah menengah di Seberang Perak di sini menghubungi ibunya kira-kira jam 2 petang semalam dan meminta mengambilnya di stesen bas berkenaan.
Fatimah berkata, dia terkejut sebaik menerima panggilan daripada anaknya sebelum memaklumkan perkara itu kepada suami, Ibrahim Hassan, 51.
Menurutnya, dia dan suami terlebih dulu dihubungi polis supaya mengambil anaknya di stesen bas sebelum bergegas ke balai berkenaan.
“Saya bersyukur kerana anak selamat dan berterima kasih dengan semua pihak termasuk media kerana membantu mengesan Dewi Kartini termasuk polis.
“Pada masa ini, Dewi Kartini dalam keadaan baik, cuma banyak termenung dan kurang bercakap mungkin kerana masih terkejut dengan kejadian menimpanya,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Sungai Jejawi di sini, semalam.
No comments:
Post a Comment