PETALING JAYA: Kehamilan di kalangan remaja menjadi trend yang membimbangkan di seluruh negara berikutan peningkatan jumlah gadis mendapatkan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berhubung masalah ini.
Sehingga April, JKM menerima 111 laporan berkaitan kes seumpama itu. Jumlah berkenaan naik mendadak berbanding 131 kes
Dilaporkan bagi sepanjang tempoh tahun lalu. Pada 2008, seramai 107 gadis bawah umur mengandung.
Mangsa ditempatkan di Taman Seri Puteri, pusat pemulihan dan perlindungan yang menawarkan latihan untuk golongan muda,
khasnya gadis remaja yang menghadapi masalah sosial.
Statistik oleh JKM ini hanya merupakan sebahagian kecil dari permasalahan sebenar, menurut Ketua Perkhidmatan Awam dan Pengaduan MCA, Datuk Michael Chong.
"Banyak kes dibiarkan tanpa laporan," katanya, sambil menyebut bahawa keluarga di Malaysia melihat masalah itu sebagai memalukan.
Tidak seperti filem Juno pada tahun 2007 tentang kehamilan remaja, tidak ada penyelesaian ala Hollywood bagi gadis yang berakhir dengan kehamilan di negara ini.
"Mereka hilang arah dan sebahagiannya lari daripada rumah. Manakala yang lainnya mengambil jalan mudah membuang bayi," tambah Chong.
Beliau berkata, tahun lalu dia sendiri mengendalikan empat kes serupa tahun lalu dan tiga kes lagi tahun ini.
"Sebilangan remaja mengambil keputusan membuat pengguguran haram apabila mendapati diri hamil. Sebab inilah kita sukar mengumpul data sebenar," jelasnya.
Chong berkata, ramai di antara gadis terbabit mengadakan hubungan seks dengan teman lelaki atas tanggapan salah bahawa mereka sedang dilamun cinta.
Mengenai kaedah mengendalikan kes tersebut, kata Chong, beliau tidak akan membuat laporan polis sekiranya pasangan terbabit sanggup berkahwin.
"Sangat menyedihkan untuk melihat remaja lelaki dipenjarakan atas kesalahan ini. Kita tidak mahu dia menanggung risiko kehilangan masa depannya.
"Bagaimanapun, saya akan mengadu kepada polis jika terdapat unsur kes disyaki rogol," tegasnya.
Di Amerika syarikat (AS), statistik menunjukkan kehamilan di kalangan gadis berusia antara 15 dan 19 tahun meningkat sebanyak 3 peratus dari 2005 hingga 2006.
Tiga hari lalu, akhbar berbahasa Cina di Pulang Pinang melaporkan tentang seorang kanak-kanak berusia 9 tahun melahirkan bayi lelaki.
Dia dipercayai mengadakan seks dengan remaja berusia 14 tahun yang tinggal bersebelahan rumahnya.
Pihak berkuasa, bagaimanapun, enggan mengesahkan laporan tersebut.
Semalam, laporan Harian Metro menyebut, dua gadis berusia 15 tahun yang melahirkan bayi di Kuala Lumpur, minggu lalu, membuat rayuan kepada pihak polis agar tidak mengambil tindakan ke atas teman lelaki masing-masing.
Salah seorang daripadanya, yang bersalin Sabtu lalu, memberitahu akhbar berkenaan bahawa dia mengenali teman lelakinya yang berusia 30-an, Ogos tahun lalu.
Pasangan itu mengadakan hubungan seks dua bulan kemudian.
Katanya, dia berhenti sekolah setelah mendapati dirinya hamil dan keluarga mereka bersetuju bahawa dia dan teman lelakinya harus dikahwinkan.
Sementara seorang lagi gadis yang melahirkan anak Selasa lalu pula mengakui dia dan pasangannya, juga teman sekolah gadis itu, mula mengadakan hubungan intim Mei tahun lalu.
Dia mendakwa keluarganya tahu tentang kehamilan itu dan memberi keizinan kepada mereka untuk berkahwin.
Kedua-dua gadis tersebut juga mendakwa teman lelaki masing-masing sanggup memikul tanggung jawab atas bayi mereka.
Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan mengesahkan laporan oleh doktor.
Katanya, disebabkan laporan membabitkan remaja, kes itu akan disiasat mengikut Akta Kanun Keseksaan Seksyen 376 kerana merogol.
http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/6/26/mstar_berita/20100626131922&sec=mstar_berita
No comments:
Post a Comment