Updated: Sabtu Jun 26, 2010 MYT 12:01:40 PM
KUALA LUMPUR: Kerajaan akhirnya memutuskan bahawa Ascot Sports Sdn Bhd (Ascort Sport) tidak akan diberikan lesen bagi menjalankan operasi pertaruhan sukan.
Perkara tersebut diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno malam tadi.
"Kerajaan mengambil keputusan tidak akan mengeluarkan lesen perjudian bolasepak kepada Ascot Sports Sdn Bhd. Keputusan itu disokong sepenuhnya oleh MT dalam mesyuarat malam ini.
"Walaupun ada pihak yang sokong dan ada pihak yang menentang... tapi setelah kita ambil kita pelbagai aspek, jelas sekali bahawa sebahagian besar daripada rakyat tidak bersetuju lesen perjudian berkenaan dikeluarkan," katanya.
Najib yang juga Presiden Umno berkata, keputusan berkenaan dibuat setelah mengambil kira soal kepentingan agama dan politik.
"Ini bukan soal (kepentingan) sosial ataupun ekonomi... tapi pertimbangan ini dari segi agama dan politik," katanya.
Menurut Najib, syarikat berkenaan telahpun dimaklumkan mengenai keputusan kerajaan itu.
Sebelum ini kerajaan pernah mengeluarkan lesen perjudian kepada Ascot Sports pada 1989, namun syarikat itu menyerahkan kembali lesen berkenaan pada 1990 kerana mengalami kerugian.
Bagaimanapun kerajaan baru-baru ini mengumumkan untuk memberikan lesen perjudian kepada Ascot Sports atas beberapa aspek.
"Memang baru-baru ini kerajaan telah memberi kelulusan iaitu pada dasarnya kepada Ascot Sports dengan syarat-syarat tertentu yang perlu dipenuhi oleh syarikat tersebut.
"Niat kerajaan selama ini adalah untuk mengawal aktiviti haram... pertaruhan haram, namun kerajaan pada masa yang sama mendapatkan pandangan umum sebelum lesen ini dikeluarkan.
"Kita mendapati masyarakat berbilang kaum di negara ini mempunyai pandangan mereka yang tersendiri dalam melihat kewajaran pemberian lesen dari sudut agama, ekonomi dan sosial," katanya.
Ditanya sama ada kerajaan perlu membayar pampasan kepada syarikat terbabit, Najib berkata: "Kerajaan tak perlu berbuat demikian kerana terdapat akta di bawah Kementerian Kewangan yang membenarkan supaya sesuatu perjanjian itu dibatalkan... syarikat itu juga faham dengan keputusan ini."
Selain itu, Najib juga berkata kerjaaan mengambil pendirian bahawa orang Islam sememangnya tidak dibenarkan terlibat dalam aktiviti perjudian.
"Kerajaan menegaskan bahawa orang Islam sama sekali tidak dibenarkan terlibat dengan pertaruhan sukan sama ada membeli, bekerja atau menjadi ahli lembaga pengarah dalam syarikat pertaruhan ini," katanya.
http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/6/26/mstar_berita/20100626000811&sec=mstar_berita
No comments:
Post a Comment