idayu@hmetro.com.my
2010/06/26
KUALA LUMPUR: “Suasana dalam komuter menjadi gamat dan kelam-kabut apabila tali kabel elektrik meletup sebelum terbakar berhampiran dengan koc wanita,” kata pekerja swasta, Noor Hafizah Abu Hassan, 28.
Dia yang sarat mengandung lapan bulan berkata, kejadian jam 7.30 malam kelmarin itu berlaku ketika tren dari Sentul ke Pelabuhan Klang itu baru saja berlepas dari Kuala Lumpur Sentral sebelum meletup berhampiran stesen Angkasapuri.
Katanya, sebelum kejadian, perjalanan tergendala selama satu jam menyebabkan penumpang terpaksa berhimpit menaiki komuter lain.
“Komuter berjalan dengan perlahan menyebabkan saya dan penumpang lain berasa tidak sedap hati sebelum kabel elektrik meletup berhampiran stesen Angkasapuri menyebabkan gerabak menjadi senget sebelah.
“Pertama kali dalam hidup, saya melihat orang ramai menjerit seperti diserang histeria, menumbuk, menendang pintu komuter, memecahkan gelas tingkap dan berebut mahu menyelamatkan diri dengan merempuh penumpang lain.
“Kami melompat keluar dari komuter, dengan ketinggian lebih 1.5 meter bagi menyelamatkan diri dan ada penumpang menangis,” katanya.
Menurutnya, walaupun tiada penumpang yang cedera dan tidak mengalami kemalangan jiwa, tetapi kejadian itu menyebabkan dia trauma.
Sementara itu, Pengurus Besar Perkhidmatan Komuter, Mohd Hider Yusoff @ Othman berkata, pihaknya sedang menyiasat punca sebenar kejadian litar elektrik komuter itu meletup.
Katanya, banyak faktor perlu diteliti seperti gerabak, litar dan sistem talian atas kerana letupan kedengaran berpunca daripada tindak balas sistem berkenaan yang terjejas ketika gerabak melalui kawasan itu.
“Kami memohon maaf kepada pengguna yang terbabit dengan kejadian itu dan kes berkenaan akan diselesaikan secepat mungkin,” katanya ketika dihubungi, semalam.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kecohtrenkomuterletup/Article
No comments:
Post a Comment