am@hmetro.com.my
2010/06/14
PONTIAN: “Setiap kali bersolat dan berdoa, jiwa saya cukup tenang dan damai, suatu nikmat perasaan yang tidak pernah dirasai sebelum ini,” kata seorang mualaf, Muhammad Firdaus Goh, 42, yang berasal dari Kampung Pontian Besar dan memeluk Islam bersama isteri dan empat anak mereka, Khamis lalu.
Dia yang bekerja sebagai nelayan berkata, biarpun sudah lama mahu memeluk Islam, namun terpaksa menangguhkan hasrat itu kerana bimbang hasratnya tidak dipersetujui isteri mahupun anak.
Bagaimanapun, menurutnya, tanggapan itu meleset apabila ahli keluarganya menyambut baik keinginannya dan bersedia memeluk Islam dengan hati terbuka.
“Pergaulan bersama rakan nelayan sejak kecil membolehkan saya mengenali Islam dan tertarik dengan ajarannya yang mengajar kita mendekati perkara mulia, saling membantu dan paling utama mencintai Allah.
“Pada pandangan saya, agama memainkan peranan penting bagi membentuk keperibadian individu dan bersyukur kerana kami sekeluarga berpeluang memeluk Islam,” katanya yang melafazkan dua kalimah syahadah di hadapan Pegawai Agama Pontian, Montaha Tuah dalam Majlis Teras Pengupayaan Melayu (Teras) Pontian anjuran Majlis Agama Islam Johor (Maij).
Majlis pengislaman Muhammad Firdaus turut dihadiri kira-kira 500 penduduk Islam setempat. Selain Goh dan isteri, Nur Aisyah Yasmin, 35, empat anak pasangan berkenaan yang turut memeluk Islam ialah Muhammad Hamzie Goh, 15, Nur Umairah Goh, 14, Nur Maisarah Goh,10 dan Nur Puteri Goh, tiga tahun.
Bagi Nur Aisyah, sebagai isteri dan ibu kepada empat anak, keputusan memeluk Islam secara serentak menjadi suatu rahmat tidak diduga.
Menurutnya, tiada mana-mana pihak memaksa mereka memeluk Islam, sebaliknya ia datang daripada hati yang ikhlas selain yakin dengan kekuasaan Yang Maha Esa.
“Syukur Alhamdulillah atas limpah kurnia-Nya. Semoga Allah memberkati kami sekeluarga selain menjadi pendorong merapatkan lagi silaturahim antara jiran sama ada jauh atau dekat selain mempelajari Islam dengan lebih mendalam.
“Terima kasih juga kepada penduduk yang hadir pada hari yang diberkati ini dan ia memberi semangat baru kepada kami sekeluarga untuk menjalani kehidupan sebagai umat Islam,” katanya.
Katanya, bermula detik itu, mereka sekeluarga akan bertanggungjawab dan berusaha sebaik mungkin mendalami agama suci itu selain tidak sabar menunaikan ibadat puasa Ogos depan.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Jiwasayakinidamai/Article
No comments:
Post a Comment