Monday, June 14, 2010

Rakyat Malaysia Pemurah, Pengemis Terus Menadah

Isnin Jun 14, 2010

Isu pengemis tidak akan selesai jika rakyat Malaysia tidak mengambil jalan penyelesaian dengan menghulurkan sumbangan ke saluran yang betul.

KISAH kumpulan lima adik-beradik di Shah Alam yang siang harinya bekerja sebagai pengemis dan mengakhiri malam mereka dengan berjoli sakan hasil kutipan sedekah dengan bermain 'game' di kafe siber didedahkan mingguan mStar selama dua minggu berturut-turut.

Tiada apa lagi yang perlu diperkatakan tentang mereka kerana sudah terang lagui bersuluh mereka menjadikan aktiviti itu sebagai kerjaya, bukan kerana miskin derita.Kini, giliran masyarakat pula untuk berfikir sebelum mereka menyeluk poket dan menghulur wang di atas tangan si pengemis yang tidak pernah diketahui sampai bila mereka ini akan berhenti menadah.

Ikuti juga pandangan Penganalis Jenayah, Kamal Efendi Hashim dan Setiausaha Agung Majlis Madrasah India Muslim Malaysia, Mohammed Shariff Ghani berhubung isu ini.

Dua budak peminta sedekah menuju ke kafe siber selepas mengutip sedekah daripada orang ramai di sekitar Seksyen 7, Shah Alam.

PETALING JAYA: Sikap masyarakat kita yang terlalu 'memberi muka' terhadap pengemis dan budak peminta sedekah menjadi penyumbang utama kepada peningkatan jumlah golongan ini.

Penganalisis Jenayah, Kamal Efendi Hashim berkata perbuatan memberi sedekah kepada pengemis bererti masyarakat menggalakkan mereka supaya terus mengemis dan seolah-olah memberi keyakinan untuk mereka meneruskan hidup dengan melakukan aktiviti seumpama ini.

"Masyarakat kita bersimpati tak kena pada tempatnya. Bersedekah tak salah, tapi biarlah bersedekah di saluran yang betul," katanya kepada mingguan mStar.

Jelasnya, terdapat banyak cara dan saluran yang membolehkan orang ramai bersedekah dan dalam masa yang sama wang itu dijamin sampai ke tangan mereka yang benar-benar memerlukannya.

Bagi yang ragu-ragu terhadap status pengemis dan bimbang 'ditipu', mereka tidak semestinya menghulurkan wang sebaliknya boleh bersedekah dengan bentuk lain seperti membelanja si pengemis makan atau minum.

"Kalau ada duit lebih, mereka boleh derma kepada sekolah. Kalau ada lagi duit lebih, mereka boleh bersedekah ke rumah-rumah ibadat kerana setiap rumah ibadat mempunyai tabung kebajikan dan ada orang yang diamanahkan untuk menjaganya," katanya.

Kamal turut menggelar kumpulan pengemis yang menyalahgunakan wang orang ramai ini sebagai penjenayah yang menggunakan senjata halus seperti pakaian compang-camping, air mata, kecacatan dan wajah simpati untuk 'memerangkap' orang ramai demi kesenangan diri sendiri.

"Kita selalu membayangkan penjenayah akan gunakan senjata seperti pisau untuk memeras ugut. Tapi kita tak sedar senjata pengemis lebih tajam. Mereka tidak memeras ugut, tetapi memeras belas kasihan dan ihsan masyarakat secara halus," katanya.

Kamal meletakkan pengemis kepada dua kategori. Kategori pertama ialah kumpulan peminta sedekah yang diketuai atau didalangi individu atau sindiket, manakala satu lagi kategori ialah kumpulan pengemis yang menjalankan aktiviti secara bersendirian.

Dalam konteks kumpulan lima adik-beradik warga Myanmar yang menjadikan pengemis sebagai kerjaya, Kamal percaya mereka bergerak secara bersendiri.

Disebabkan tiada pengawasan di luar rumah, mereka bebas melakukan apa saja termasuklah menggunakan wang sedekah untuk tujuan keseronokan dan seterusnya terlibat dengan jenayah.

"Pengemis, terutamanya kanak-kanak wajar diberi peluang untuk hidup. Tapi, jika tindakan mereka itu dahsyat sehingga membuatkan masyarakat terganggu, mereka boleh terus melaporkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk tindakan selanjutnya.

Isu penyalahgunaan wang sedekah turut mendapat reaksi daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Mohammed Shariff Ghani

Setiausaha Agung Majlis Madrasah Indian Muslim Malaysia, Muafakat India Muslim Selangor (MIM), Mohammed Shariff Ghani berkata sudah tiba masanya kerajaan membuat kajian lebih terperinci dan mengambil tindakan sewajarnya sebelum negara kita tidak dibanjiri lebih ramai pengemis.

Katanya, ketiadaan undang-undang dan penguatkuasaan tegas oleh pihak berkuasa membolehkan mereka yang tidak bertanggungjawab menggunakan peluang dan keterbukaan ini untuk mengaut keuntungan dengan cara mudah.

"Walaupun kini ada banyak NGO, tetapi setiap pertubuhan itu tertakluk kepada enakmen dan undang-undang sendiri. Tapi, kita masih tiada pertubuhan atau badan khas untuk mengawasi aktiviti seperti ini," katanya.

Tidak menafikan sebahagian daripada kanak-kanak peminta sedekah terdiri daripada kaum India-Muslim dan ada di antara mereka memegang status pelarian, Mohammed Shariff turut membayangkan imej negara akan tercemar jika aktiviti ini dibiarkan berterusan.

Malah, dia turut mengaitkan aktiviti ini dengan gejala sosial dan akan menyumbang kepada lebih banyak kes-kes jenayah.

"Budaya meminta sedekah membuatkan kanak-kanak malas untuk belajar. Bila mereka besar, mereka malas untuk bekerja kerana sejak kecil lagi mereka sudah biasa mendapat wang dengan mudah.

"Kesudahannya, mereka terpaksa mencari wang dengan cara lain yang lebih mudah juga seperti mencuri dan sebagainya," katanya.

Mengulas nasib dan penderitaan kanak-kanak pelarian, terutama dari Myanmar dan Bangladesh ke negara ini, pihaknya turut berasa simpati dan berharap pihak kerajaan dapat melakukan sesuatu bagi membela nasib mereka di sini.

Selain menjadi mangsa kemelut politik, kelompok ini juga terhimpit kerana negara mereka tidak pernah mengiktiraf kaum ini sebagai warganegara dan menyebabkan mereka lari ke Malaysia melalui sempadan Thailand.

"Saya pernah dengar mereka sanggup mencacatkan diri sendiri atau ahli keluarga untuk menagih simpati orang ramai dan saya tahu cerita ini bukan rekaan sebab tindakan seperti itu sudah jadi perkara biasa di sana," katanya.

Namun, dia kesal kerana peluang dan bantuan yang diberikan oleh United Nations kepada mereka telah disalah guna di sini.

Justeru, dia berpendapat, jalan terbaik untuk membasmi kegiatan ini ialah dengan mengadakan kempen dan promosi supaya orang ramai berhati-hati sebelum bersedekah dan mengikis sedikit demi sedikit budaya murah hati yang ada dalam diri kebanyakan masyarakat Malaysia.

"Pengemis tak sepatutnya ada di Malaysia. Jangan sampai Malaysia dijadikan 'tapak' untuk membuka bisnes sedekah pada masa akan datang," katanya.

http://mstar.com.my/variasi/manusia_peristiwa/cerita.asp?file=/2010/6/14/mstar_manusia_peristiwa/20100614102448&sec=mstar_manusia_peristiwa

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...