Monday, June 14, 2010

Wajar lapor tindakan zalim

Oleh Yusliza Yakimir Abdul Talib
yusliza@hmetro.com.my
2010/06/14

KUALA LUMPUR: “Tindakan keluarga mentua itu zalim kerana cuba memisahkan ibu dengan anaknya.

“Sebagai orang lebih tua, mereka tidak sepatutnya melakukan perkara sedemikian,” kata Pengasas Pusat Kebahagiaan Wanita dan Remaja (Kewaja), Yahya Mohamed Yusuf.

Bagaimanapun, katanya, tindakan wanita itu yang melaporkan kejadian adalah tepat dan wanita yang mengalami masalah sepertinya harus berani tampil membuat aduan sejak awal bukan selepas masalah sudah menjadi teruk.

“Wanita yang menjadi mangsa kezaliman suami ini disarankan membuat aduan kepada polis, jabatan agama Islam, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), mendapatkan khidmat kaunseling serta pusat perlindungan. “Ada juga memberi alasan tidak mahu mengadu dan sanggup didera kerana berkorban untuk anak tapi pengorbanan yang sebenar adalah dengan memisahkan anak dengan bapa yang zalim supaya mereka tidak dibesarkan dengan suasana penderaan sebegitu.


“Jika anak terus dipertontonkan dengan sikap zalim bapa mendera ibu mereka, anak akan menganggap wanita patut dilayan sedemikian dan mempraktikkan perkara sama terhadap isteri mereka kelak,” katanya.

Yahya berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Metro Ahad, semalam, mengenai kejadian wanita malang yang didera suami dan keluarga mentuanya termasuk merampas dua anak mangsa.

Mangsa yang dipaksa berkahwin dengan suaminya enam tahun lalu selepas lelaki itu merogolnya turut mengalami kesedihan berganda apabila turut tidak dibenarkan berjumpa anak selepas suaminya itu maut kemalangan.

Justeru, katanya, satu mekanisme baru berkaitan institusi kekeluargaan perlu diwujudkan segera supaya masalah berkaitan keruntuhan rumah tangga dan penderaan terhadap wanita serta kanak-kanak dapat ditangani dengan berkesan.

Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Masyarakat Penyayang berkata, pendidikan formal mengenai alam rumah tangga penting supaya pasangan dapat menjalani kehidupan berkeluarga tanpa keganasan.

“Kita juga perlu mewujudkan kembali konsep ‘menjaga tepi kain’ di kalangan masyarakat supaya kejadian sebegini dapat dikurangkan. Menjaga tepi kain bukan bermakna kita mencampuri urusan orang lain tapi menunjukkan sikap prihatin dengan apa yang berlaku di sekeliling.


“Apa yang berlaku sekarang adalah masyarakat sudah tidak peduli jika ada jiran tetangga melakukan maksiat, buang bayi, penderaan, penyalahgunaan dadah,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Wajarlaportindakanzalim/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...