Monday, June 14, 2010

Kekasih RM382,477

Oleh Shanty Nur Shaffizan Shafee
shantynur@hmetro.com.my
2010/06/14

KUALA LUMPUR: Teruja ingin bertemu kekasih hati yang baru dikenali melalui laman sembang, seorang wanita berusia 27 tahun berputih mata apabila kerugian RM7,100 apabila diperdaya lelaki terbabit kononnya ditahan pihak berkuasa tempatan.

Tanpa menyedari ia helah lelaki Afrika yang bijak berlakon sebagai kasanova menjerat wanita tempatan menyebabkan mangsa yakin teman lelakinya itu dalam kesusahan. Menurut sumber, mangsa bekerja sebagai pembantu undang-undang hanya mengenali lelaki itu tidak sampai sebulan dan terkejut apabila diberitahu kekasihnya itu akan datang menemuinya minggu lalu.


“Mangsa menerima panggilan kira-kira jam 9 pagi Khamis lalu dari teman lelakinya yang dikenali sebagai David menyatakan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari London, United Kingdom,” katanya.


Namun, kegembiraan wanita itu hanya seketika apabila menerima panggilan daripada teman lelakinya yang mendakwa ditahan pihak kastam kerana membawa wang melebihi had memasuki negara ini iaitu kira-kira RM382,477.


“Suspek meminta wanita terbabit membantu membebaskannya dengan membayar cukai iaitu 10 peratus dari jumlah wang terbabit kira-kira RM38,247.


“Mangsa yang tidak mempunyai wang sebanyak itu mulanya enggan membantu, tetapi kemudian dihubungi pula seorang lelaki lain yang mendakwa pegawai kastam menyebabkan dia terpedaya lalu memasukkan RM7,100 ke dalam beberapa akaun seperti diarahkan,” katanya.


Bagaimanapun, suspek tidak berpuas hati dan mendesak mangsa supaya memasukkan sekurang-kurangnya RM10,000 dengan alasan untuk dibebaskan, tetapi enggan dituruti mangsa.


“Suspek terus mendesak dan menghubunginya bagi meminta wang menyebabkan mangsa menghubungi pihak kastam dan imigresen KLIA bagi mengesahkan penahanan teman lelakinya itu.


“Menyedihkan apabila mangsa diberitahu kedua-dua pihak berkuasa terbabit mereka tidak membuat sebarang penahanan pada hari terbabit menyebabkan mangsa merasa ditipu dan membuat laporan polis,” katanya.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Izany Abd Ghany mengesahkan menerima laporan itu.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/KekasihRM382_477/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...