Saturday, June 5, 2010

Nyaris ke Lombok

Oleh Nor Husaini Nor Majid
am@hmetro.com.my
2010/06/05

KULIM: “Adam tiba-tiba memasuki teksi yang saya naiki dan menyuruh pemandu membawa kami ke stesen bas Kulim.

“Dalam perjalanan itu, Adam memberitahu yang dia ingin ke Kuala Lumpur untuk bertemu rakannya,” kata pelajar tingkatan satu, Siti Nur Hidayah Mohd Razi ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Remaja berusia 13 tahun itu pada mulanya berniat untuk lari dari rumah tetapi bertukar mimpi ngeri apabila jirannya seorang warga Indonesia berasal dari Lombok yang hanya dikenalinya dua minggu lalu tiba-tiba memasuki teksi dinaikinya untuk ke bandar Kulim.


Seperti lagak seorang hero dalam filem hindi, warga Indonesia itu memujuk Hidayah agar tidak risau dan akan membantunya menyelesaikan masalah selepas tiba di Kuala Lumpur.


“Dia memujuk saya untuk mengikutnya ke Kuala Lumpur. Saya mengikutnya kerana tiada hala tuju ketika itu,” katanya yang menceritakan pengalaman pertamanya lari dari rumah. Seolah-olah dipukau, Hidayah yang keluar rumah tanpa memakai pakaian sekolah kira-kira jam 7 pagi kelmarin, mengikuti Adam ke stesen bas itu untuk mendapatkan tiket ke Kuala Lumpur pada jam kira-kira 9 pagi.


Bagaimanapun, hajat warga Indonesia itu untuk melarikan Hidayah tidak kesampaian apabila wang yang dibawanya tidak mencukupi dan penjual tiket bas yang mengesyaki tingkah laku mencurigakan lelaki itu kemudian bertindak menghubungi polis.


“Dia hanya mempunyai RM35 ketika itu dan tidak cukup untuk beli dua tiket bas ke Kuala Lumpur. Ketika menunggu di stesen bas, dua orang polis datang memeriksa Adam dan saya,” kata anak sulung dari enam beradik itu.


Pihak polis yang tiba kemudian membawa Hidayah ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim untuk siasatan lanjut kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.


“Saya sangat takut ketika dibawa ke balai polis kerana tidak membawa kad pengenalan dan selepas disoal siasat pegawai polis, saya memberitahu tujuan saya ialah untuk lari dari rumah,” katanya. Polis yang berjaya menjejaki keluarga remaja itu kemudian mempertemukan Hidayah dengan ibu bapanya di IPD Kulim, kira-kira jam 11 pagi.

Hidayah berkata, dia bersyukur kerana terselamat daripada menjadi mangsa warga Indonesia itu dan berjanji tidak akan lari dari rumah lagi. Sementara itu, ibu mangsa, Azlina Azmi berkata, dia sangat terkejut dan cemas kerana polis datang menjemputnya bersama suami di tempat kerjanya di sebuah kilang yang terletak berhampiran rumahnya.

“Saya sangat risau dan suami tidak menceritakan apa berlaku. Ketika sampai di IPD Kulim barulah saya tahu Hidayah cuba lari dari rumah dan ditahan bersama seorang warga Indonesia yang juga jiran saya,” katanya. Azlina berkata, ketika itu suaminya menjadi sangat marah dan mula menyoal warga Indonesia itu yang dipercayai buruh ladang kelapa sawit.


"Kami langsung tidak mengesyaki Hidayah akan lari dari rumah kerana kami keluar awal untuk bekerja dan dia pula memberitahu akan ke sekolah. "Tambah pelik ialah dia sanggup mengikuti warga Indonesia itu kerana saya tidak pernah melihat mereka bercakap sebelum ini," katanya. Azlina berkata, dia bersyukur kerana niat warga Indonesia itu mahu membawa anaknya ke Kuala Lumpur akhirnya memerangkap mereka sehingga ditahan polis.


Ketua Polis Kulim, Superintendan Ghuzlan Salleh yang mengesahkan kejadian itu berkata, pihak polis menerima panggilan dari orang awam yang mengesyaki tingkah laku pasangan itu dan sebuah kereta peronda dihantar untuk memeriksa.


“Setelah pemeriksaan dibuat, pasangan itu dibawa ke IPD untuk siasatan lanjut dan lelaki warga Indonesia itu ditahan kerana tiada dokumen lengkap,” katanya sambil menambah Hidayah diserahkan semula kepada keluarganya selepas soal siasat dijalankan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/NyariskeLombok/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...