Friday, September 24, 2010

'Aku terkenal lepas ini'

Oleh Mohamed Farid Noh

2010/09/24

KLUANG: “Aku akan jadi terkenal selepas ini,” kata seorang tukang kebun, Md Azman Panjol, 35, ketika gambarnya dirakam sekumpulan jurugambar di pekarangan mahkamah Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Md Azman didakwa atas kesalahan menyamar sebagai wartawan Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) bagi memeras wang daripada seorang peniaga daerah ini, Jumaat lalu.

Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas tuduhan itu dan Majistret Azhar Arif Mohamad memerintahkan lelaki terbabit diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.


Terdahulu, tertuduh yang kelihatan gelisah dan gementar melihat kehadiran wakil media di galeri awam hanya menggelengkan kepala sebelum mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.


Mengikut fakta pertuduhan, Md Azman dituduh menipu seorang peniaga, Lim Lian Soon, 30, dengan menunjukkan tag TV3 yang tertera gambar dan namanya.


Md Azman memperkenalkan diri sebagai wartawan TV3 sehingga Lim menyerahkan wang tunai berjumlah RM200 yang diminta tertuduh kononnya bagi menyelesaikan masalah rakan peniaga itu yang berdepan dengan pertuduhan di mahkamah.


Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Kedai Makanan dan Minuman Wall Street di sini, jam 3 petang pada 17 September lalu dan dituduh mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda dan sebat, jika sabit kesalahan.


Pertuduhan dibuat oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Rasidah Abd Radzaz dan kes akan disebut semula di mahkamah sama pada 2 November ini.


Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohamed Fawzi Arshad pada sidang media berkata, polis turut menemui sekeping pas pekerja antaranya mencatatkan wartawan Harian Metro, Berita Harian serta TV3 bersama lelaki itu.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Akuterkenallepasini/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...