Friday, September 24, 2010

Umpan RM10, penjara 10 tahun

Oleh Mohd Nasif Badruddin

2010/09/24

KUALA TERENGGANU: Umpan RM10 yang diberikan seorang guru mengaji al-Quran sebelum merogol anak muridnya lima tahun lalu akhirnya dibalas dengan hukuman penjara 10 tahun selepas dia mengaku bersalah atas tuduhan berkenaan di Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Hakim Che Mohd Zulkifly Jusoh memerintahkan hukuman penjara terhadap tertuduh yang berusia 62 tahun bermula dari tarikh sabitan semalam selepas mengambil kira faktor usia tua dan pengakuannya yang insaf atas perbuatannya.

Tertuduh yang mempunyai pertalian persaudaraan dengan mangsa yang kini berusia 19 tahun didakwa melakukan perbuatan tidak bermoral itu pada 11 Jun 2005, kira-kira jam 3 petang di Kampung Pak Madah, Bukit Payong, Marang selepas mangsa mengaji al-Quran dengan lelaki berkenaan di sebuah surau.


Mangsa yang ketika itu berusia 14 tahun pergi ke rumah saudara tertuduh, namun saudaranya tidur dan dia mengambil keputusan pulang sebelum terserempak tertuduh yang menggosok lengan dan bahu mangsa.


Tertuduh seterusnya mengumpan mangsa dengan memberikan wang RM10 dan membawa masuk mangsa ke dalam sebuah bilik sebelum bertindak merogol selepas menanggalkan pakaian mangsa sehingga bogel.


Mangsa yang membuat laporan polis bersama keluarganya pada 23 Jun 2005 kira-kira jam 6 petang, menjalani pemeriksaan di hospital dan doktor mendapati terdapat kesan koyakan lama pada kemaluan mangsa dan selepas itu tertuduh ditangkap di rumahnya di Kampung Pak Madah, keesokannya.


Ketika pertuduhan dibacakan, tertuduh yang mempunyai empat isteri serta 11 anak kelihatan tenang dan dengan rela hati mengaku bersalah.


“Kita (saya) akui segala keterangan dan kira nak mengakulah (salah) dan sedia dijatuh hukuman, kasihan pada dia (mangsa),” kata Shamsuddin.


Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Amer Abu Bakar Abdullah mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Mohd Asaari Salleh.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/UmpanRM10_penjara10tahun/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...