Oleh Hadzlihady Hassan dan Asmah Rusman
2010/09/24
KUALA LUMPUR: Aidilfitri yang disambut baru-baru ini meninggalkan kesan mendalam buat seorang wanita, Norhayati Sulaiman, 36, apabila ibu tercinta meninggal dunia ketika seluruh umat Islam lain bergembira menyambut perayaan itu.
Bukan mahu menafikan ajal dan juga takdir ditentukan, namun kematian ibunya, Sharifah Abdullah, 67, itu meninggalkan kesan mendalam apabila warga emas terbabit disahkan meninggal dunia kerana menghidap kanser usus.
Apa yang menjadi persoalan sehingga kini adalah sebab kematian dan juga penyakit yang dialami ibunya itu ternyata membuatkan dia terkilan kerana doktor hanya memberitahu arwah ibunya itu menghidap penyakit usus biasa ketika warga emas terbabit mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
Menurut Norhayati, sebagai manusia, dia menerima pemergian ibunya itu kerana ajal sudah ditentukan namun terkilan apabila ibunya yang mendapatkan rawatan di hospital terbabit hanya diberikan ubat KK dan juga ubat keras najis.
“Selama hampir tujuh bulan ibu mendapatkan rawatan namun, tiada seorang doktor memberitahu dia menghidap kanser usus.
“Namun, ketika ibu terlantar dalam keadaan tenat beberapa hari sebelum pemergiannya barulah saya mendapat tahu arwah sebenarnya menghidap kanser usus,” katanya.
Menurutnya, dia mendapat tahu penyakit dihidapi ibunya itupun selepas diberitahu seorang doktor pelatih yang kebetulan turut memberikan rawatan kepada ibunya itu.
“Sejurus mendengar ibu sebenarnya menderita akibat kanser usus, saya terus berjumpa dengan doktor pakar untuk meminta penjelasan daripadanya namun, dia mendakwa sudah memberitahu penyakit terbabit dari awal.
Menurutnya, jika diberitahu lebih awal, mereka sekeluarga boleh berusaha untuk mendapatkan rawatan yang lebih baik kepada ibunya itu kerana selama tujuh bulan berulang-alik hanya ubat terbabit diberikan kepada arwah.
“Memang saya agak terkilan dengan sikap doktor dan juga kakitangan di situ, selain itu banyak juga rungutan daripada pesakit lain dan ahli keluarga mereka ketika saya berada di hospital terbabit.
“Kebanyakan mereka tidak berpuas hati dengan cara kakitangan di situ menjalankan tugas kerana terlalu ramai doktor pelatih dan mereka seolah-olah melakukan pesakit sebagai bahan eksperimen,” katanya.
Menurutnya, dia mendedahkan perkara ini bukan bertujuan untuk mengambil tindakan (saman) terhadap hospital terbabit namun tidak mahu kejadian seperti ini berulang kepada orang lain.
“Mungkin dengan pendedahan ini dapat mengubah cara kakitangan hospital terbabit melakukan kerja kerana mereka sebenarnya ‘bermain’ dengan nyawa yang tidak ternilai,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan, Datin Dr Zailan Datuk Adnan ketika dihubungi berkata, dakwaan masyarakat yang menuduh pihak hospital menjadikan pesakit sebagai bahan eksperimen adalah melampau dan tidak tepat.
“Mereka harus faham, latihan praktikal adalah cara paling berkesan untuk membiasakan doktor atau jururawat pelatih berdepan dengan sebarang situasi di hospital termasuk kes kritikal.
“Namun, bidang tugas mereka merangkumi pemeriksaan awal dan melakukan ujian darah terhadap pesakit saja sebelum membentangkan kes berkenaan kepada doktor pakar yang menyelia mereka maka keputusan terakhir pesakit terletak di tangan pakar,” katanya.
Dr Zailan berkata, segelintir doktor atau jururawat pelatih tidak mahu memberitahu keluarga kerana tidak sampai hati. Ada juga pelatih yang tidak memandang serius kes yang dikendalikan dan akhirnya terlupa.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Sepertibahaneksperimen/Article
No comments:
Post a Comment