2010/09/24
KUALA LUMPUR: Hospital Melaka (HM) menafikan dakwaan seorang ibu yang menyatakan kecederaan seperti kudis serius di belakang kepala anaknya terjadi disebabkan kecuaian HM yang tidak menggerakkan kepala kanak-kanak terbabit yang terlantar koma selama 18 hari.
Timbalan Pengarah Kesihatan Melaka (Perubatan), Datuk Dr Dul Hadi Mat Junid, berkata pesakit, Fatin Nur Amira Syuhada Yusrizan, 2, mengalami kesan melecur akibat terkena air panas di bahagian dagu, dada dan di dalam mulut diberi rawatan awal di Jabatan Kecemasan sebelum dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Mawar HM 8 Ogos lalu.
Menurutnya, pesakit memerlukan bantuan mesin pernafasan tahap tinggi bagi membantunya untuk bernafas yang pada ketika itu berada dalam keadaan kritikal disebabkan mengalami masalah paru-paru selain mengalami tekanan darah rendah.
“Pemantauan harian sejak dimasukkan ke ICU 8 Ogos hingga 22 Ogos lalu mendapati pesakit tidak mengalami sebarang komplikasi sebelum dikesan mula mengalami perubahan pada warna kulit di bahagian belakang kepala bersaiz sebesar duit syiling 50sen (3 sentimeter) pada 23 Ogos lalu.
“Posisi kepala pesakit sentiasa diubah setiap 2 jam tetapi pergerakan yang kami lakukan amat terhad berikutan keadaannya yang sangat tenat pada ketika itu dan masih memerlukan bantuan mesin pernafasan tinggi,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan Harian Metro kelmarin mengenai dakwaan seorang ibu, Zaidatul Husni Hashim, 27, bahawa kecuaian HM yang tidak menggerakkan kepala anaknya selama 18 hari menjadi punca anaknya mengalami kecederaan seperti kudis serius di bahagian belakang kepala.
Dalam laporan itu, Zaidatul turut mendakwa tidak diberitahu oleh HM akan kecederaan yang terjadi kepada anaknya yang menyebabkan anaknya tidak akan mempunyai rambut selepas sembuh kelak.
Dul Hadi berkata, sekiranya posisi pesakit diubah secara berlebihan ia boleh menyebabkan keadaan pesakit menjadi tidak stabil dan pesakit yang mengalami masalah bengkak pada seluruh badan turut menjadi faktor penyumbang kepada komplikasi di bahagian belakang kepala terbabit (pressure sore).
“Pada hari pesakit dipindahkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) saiz ‘pressure sore’ di kepalanya masih berukuran 3 sentimeter dan keadaan ‘pressure sore’ bersih dan kering,” katanya.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tidakbolehubahposisiberlebihan/Article
No comments:
Post a Comment