Friday, September 24, 2010

Kes selesai 9 bulan

2010/09/24

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sivil Baru yang diwujudkan bertujuan menyelesaikan kes sivil dalam sembilan bulan dari tarikh difailkan akan bermula pada 1 Oktober ini, menurut risalah yang diedarkan kepada wakil media, semalam.

Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi dijadual melancarkan Mahkamah Sivil Baru (NCvC), hari ini. Menurut risalah itu, NCvC akan mendengar dan menyelesaikan permohonan sivil atau saman yang difailkan pada atau selepas 1 Oktober, di Mahkamah Sivil Kuala Lumpur.

Mahkamah itu diwujudkan bagi memastikan penyelesaian kes dengan kadar segera dan selaras dengan Mahkamah Komersil Baru (NCC).

NCC dilaksanakan pada 1 September tahun lalu bagi tujuan sama, untuk melupuskan kes dalam tempoh sembilan bulan dari tarikh difailkan.

Enam hakim akan ditugaskan untuk NCvC dan mereka akan bertugas secara bergandingan dua orang secara giliran setiap tiga bulan, menurut risalah itu. Menurutnya, gandingan pertama hakim ialah Harmindar Singh Dhaliwal dan Prasad Sandosham Abraham.

Berdasarkan anggaran jumlah kes difailkan setiap bulan di bahagian sivil berbanding kadar penyelesaian kes bagi tempoh yang sama, hakim berkenaan akan dapat melupuskan kes yang ditugaskan kepada mereka dalam tempoh ditetapkan.

Semua kes sivil yang difailkan sebelum 1 Oktober akan dikendalikan dan dilupuskan hakim sedia ada.


Tinjauan mendapati terdapat sebuah NCvC di tingkat tiga Kompleks Mahkamah di Jalan Duta. - Bernama

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kesselesai9bulan/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...