Oleh Iskandar Shah Mohamed
2010/09/14
SEREMBAN: Siasatan polis mendapati kes bunuh seorang ustazah dan anak lelakinya di sebuah apartmen di Jalan Sutera Lama, Port Dickson, awal bulan ini, bermotifkan samun dengan suspek menggunakan taktik konon tertinggal kunci sebelum memasuki rumah mangsa untuk menyusup masuk melalui tingkap belakang.
Suspek berusia 34 tahun yang juga jiran mangsa kemudian mengikat tangan dan menutup mulut dua beranak itu, Norliza Ishak, 35, dan anaknya, Amirul Ayman Mohd Yusoff, 10, menggunakan tali, pita pelekat serta kain sarung sebelum meletakkan mereka dalam bilik mandi rumah terbabit.
Suspek dikatakan turut bertindak kejam dengan membuka air pancuran mandi sebelum menghempap mangsa menyebabkan mereka sukar bernafas dan meninggal dunia. Suspek melarikan barangan peribadi mangsa termasuk barang kemas, telefon bimbit, komputer riba serta wang tunai dan menjual sebahagian barangan itu bernilai ribuan ringgit di kedai pajak gadai.
Suspek menyimpan wang itu dalam akaun bank miliknya dipercayai bagi melunaskan hutang termasuk membabitkan pembayaran ansuran kenderaan dan bil lain.
Perkara itu didedahkan Ketua Polis Negeri, Datuk Osman Salleh yang berkata, suspek, seorang mualaf, mengaku semua perbuatan itu sepanjang proses soal siasat dijalankan terhadapnya sejak dalam tahanan polis.
“Suspek dipercayai memperdaya mangsa dengan berpura-pura tertinggal kunci dalam rumahnya dan perlu memasuki kediaman mangsa untuk memanjat masuk melalui tingkap belakang di bahagian dapur. “Sejurus memasuki rumah dua tingkat itu, suspek kemudian menghentak mangsa menggunakan siku dan mengikat kedua-dua tangan mangsa.
“Anak lelaki mangsa yang menyedari perkara itu bertindak menjerit sebelum tangannya turut diikat. Dua beranak itu seterusnya diletakkan dalam bilik mandi dengan kepala serta mulut ditutup dengan kain dan pita pelekat,” katanya pada sidang media, semalam. Hadir sama Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Baljeet Singh.
Menurutnya, hasil penahanan, suspek turut membawa kepada penemuan semula beberapa barangan milik mangsa yang dicuri iaitu barang kemas, tiga telefon bimbit, sebuah komputer riba dan pemain ‘laystation serta sejumlah wang tunai. “Siasatan mendapati suspek yang bekerja sebagai pemasang paip gas syarikat minyak dan gas melakukan samun kerana mempunyai masalah kewangan selepas tidak mempunyai kontrak kerja beberapa bulan,” katanya yang turut memberitahu isteri dan anak suspek tiada di rumah ketika kejadian kerana berada di Sabah.
Beliau berkata, pihaknya sudah menyerahkan kertas siasatan kes kepada pejabat timbalan pendakwa raya dan suspek akan didakwa di Mahkamah Majistret Seremban hari ini.
Ditanya sama ada wujud unsur rogol dan liwat dalam kejadian itu, Osman berkata, pihaknya masih menunggu laporan DNA bagi mengesahkan perkara berkenaan.
“Berdasarkan laporan bedah siasat, ada kecederaan pada kemaluan kedua-dua mangsa yang disahkan mati akibat sesak nafas, namun kami masih menunggu keputusan ujian,” katanya.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Angkarajirandekatrumah/Article
No comments:
Post a Comment