Rabu September 15, 2010
KUALA LUMPUR: Beberapa pensyarah universiti tempatan berharap Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi dapat menggunakan saluran kerajaan dalam menyuarakan sesuatu pendapatnya mengenai perjalanan dan pentabiran jabatan atau agensi kerajaan.
Mereka berkata anggota Majlis Tertinggi Umno itu tidak sepatutnya membuat kritikan terhadap kerajaan secara terbuka memandangkan beliau adalah juga anggota pentadbiran kerajaan yang memerintah.
Pensyarah Media dan Komunikasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Safar Hashim berpendapat kritikan secara terbuka Mohd Puad terhadap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Isnin boleh menjejaskan hubungan antara kementerian.
"Tindakan beliau bukan sahaja boleh mengeruhkan hubungan kementerian, malahboleh menimbulkan tekanan yang tidak wajar terhadap suruhanjaya itu," katanya kepada BERNAMA di sini, Selasa.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Mohd Puad yang disiarkan sebuah akhbar yang mendakwa SKMM gagal mengambil tindakan tegas terhadap media alternatif dan blog yang didakwanya kini bebas menyalurkan agenda membenci kerajaan, selain membangkitkan provokasi di dalam negara.
Safar berkata tindakan Mohd Puad juga boleh menimbulkan persepsi negatif kepada rakyat yang melihat seolah-olah anggota Kabinet tidak bersatu dan mengalami ketidakstabilan. Bagi Profesor Tamu Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Salleh Buang, yang juga pakar perundangan berkata Mohd Puad perlu menggunakan saluran lain dari media, seperti perbincangan peribadi bersama menteri dari kementerian berkenaan.
"Lainlah jika beliau merupakan orang awam, sudah tentu tidak menimbulkan persepsi negatif terhadap kerajaan jika Mohd Puad mengkritik perjalanan atau perlaksanaan dasar sesuatu kementerian," katanya.
Penganalisis Politik Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Dr Ahmad Atory Hussain pula berkata Mohd Puad wajar menegur SKMM, "tetapi jangan melalui media massa kerana tidak bagus dan rakyat akan mempersoalkan kredibiliti kerajaan".
"Sepatutnya beliau gunakan saluran lain untuk kritik seperti melalui parti, biro-biro Umno, memo ataupun ketika menghadiri mesyuarat," katanya.
Pendapat Ahmad Atory itu turut dipersetujui Profesor Sains Politik Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Madya Dr Mohamad Agus Yusoff yang berkata kritikan memang diperlukan untuk meningkatkan kualiti serta keberkesanan sesebuah badan. Bagaimanapun menurutnya ia harus dijalankan secara tertutup oleh pemimpin negara bagi mengelakkan berlakunya salah faham antara kementerian. - BERNAMA
http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/9/15/mstar_berita/20100914224408&sec=mstar_berita
No comments:
Post a Comment