Wednesday, September 15, 2010

Kes bunuh Sosilawati: Hanya perlu sedikit cebisan

2010/09/15

KUALA LUMPUR: Tindakan membakar mayat sebagai cara menghapuskan bukti pembunuhan bukan bermakna ia mampu mengaburi mata pihak berkuasa untuk mengesan mangsa bagi membolehkan penjenayah yang bertanggungjawab bebas dan bermaharajalela.

Ini kerana, ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA) boleh dilakukan berdasarkan kepada bukti biologi lain yang dijumpai di lokasi kejadian seperti cebisan daging, serpihan tulang atau gigi.

“Walaupun hanya tulang ditemui ketika siasatan unit forensik di lokasi kejadian, ia sudah cukup untuk mengesan identiti mangsa. Ketepatan ujian DNA juga hampir sempurna iaitu sehingga 99.9 peratus memandangkan profil bagi setiap individu adalah unik dan berbeza.

“Kes bunuh dan bakar cara luar biasa pernah dilakukan penjenayah kerana ia pernah terjadi ketika pembunuhan kejam Canny Ong yang turut dibakar kira-kira tujuh tahun lalu,”
kata seorang pakar forensik yang enggan dikenali ketika dihubungi, semalam.


Menurutnya ujian DNA boleh dilakukan melalui pelbagai sampel, bukan hanya tertumpu kepada air liur atau darah semata-mata dan kebiasaannya sampel darah waris terdekat seperti ibu, adik-beradik dan anak digunakan untuk pengesahan identiti itu.


“Sampel DNA termasuklah kuku, air mani, darah, cecair badan atau tisu, urin, bulu kemaluan, tulang dan calitan bahagian sulit individu.

Buat masa ini, pasukan forensik dan kimia masih melakukan pengumpulan bahan bukti bukan saja mengenalpasti mangsa, tetapi untuk mengukuhkan bukti di peringkat siasatan dan pendakwaan.

“Kerja ini harus dilakukan dengan teliti dan mengambil masa sedikit apatah lagi membabitkan ramai mangsa,”
katanya.


Sementara itu, ibu Noorhisham Mohamad, pegawai bank yang mati dibunuh bersama jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, Satinah Mokhtar menjalani ujian DNA di Hospital Kuala Lumpur (HKL), semalam.


Difahamkan, keluarga mangsa menjalani ujian itu di Wad Kecemasan dan Trauma Hospital Kuala Lumpur (HKL) kira-kira jam 1 tengah hari.


Bapa mentua mangsa, Raden Pangat Ishak berkata, selain mereka, difahamkan ketiga-tiga waris terdekat mangsa, ibu Sosilawati, Ahmad Kamil Abd Karim dan Kamarudin Shamsuddin turut menjalani ujian yang sama bagi pengesahan identiti kesemua mangsa itu.


“Kami tidak pasti lagi bila keputusan itu diketahui. Tadi (semalam) ibu Noorhisham memberikan sampel darah yang akan dihantar ke Jabatan Kimia. Berkemungkinan keputusannya diketahui tiga atau empat hari lagi,” katanya.

Difahamkan, bahan bukti seperti cebisan tulang dan abu yang ditemui berkemungkinan dibawa ke HKL dan ujian DNA dilakukan dalam masa terdekat ini.


Sementara itu, Timbalan Pengarah (Perubatan) HKL, Dr Lailanor Ibrahim berkata, setiap ujian DNA dilakukan HKL mengikuti operasi prosedur standard (SOP) tanpa mengira status sesuatu kes.


“Pesakit datang ke HKL membuat ujian mengikut prosedur dan sampel diperoleh dihantar ke makmal yang diiktiraf,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Hanyaperlusedikitcebisan/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...