Thursday, September 9, 2010

Nenek jaga tiga cucu ditinggalkan ibu bapa


FATIMAH terpaksa menjaga tiga orang cucunya (dari kiri) Nurul Farhani, Safarilia Hanani dan Safaralisa Hanani di Kampung Masjid, Beserah, Kuantan semalam.


KUANTAN - "Saya pasrah menjaga tiga orang cucu kami yang ditinggalkan ibu bapa mereka meskipun saya sendiri hidup melarat."

Demikian rintihan pilu seorang nenek, Fatimah Abu Bakar, 53, yang sanggup menjaga tiga cucunya termasuk dua daripada mereka kembar perempuan berusia setahun.

Fatimah memberitahu, cucunya diabaikan kerana ibu bapa mereka menghadapi masalah rumah tangga dan bertindak menghilangkan diri sejak setahun lalu.

"Cucu kembar perempuan saya ini, Safarilia Hanani Mohd. Riduan dan Safaralisa Hanani ditinggalkan di rumah saya sejak masih bayi. Nurul Farhani Abdul Mohd. Shukri, 9, juga mengalami nasib serupa.

"Sebagai nenek, walau sesusah manapun, saya tidak sampai hati untuk lepas tangan atau menyerahkan mereka kepada orang lain untuk dijaga," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Masjid, Beserah di sini semalam.

Paling menyentuh perasaannya ialah salah seorang daripada kembar berkenaan mengalami kecacatan sejak lahir dan memerlukan perbelanjaan besar untuk rawatan.

"Doktor maklumkan bahawa Safaralisa mengalami penyakit otak mengecil sejak lahir yang menyebabkan dia tidak boleh bergerak dan hanya mampu berbaring.

"Tetapi saya dan suami tidak pernah berputus asa untuk merawat dan melihatnya kembali sihat seperti kanak-kanak lain," ujarnya.

Menurutnya, wang pencen suami sebanyak RM720 sebulan dan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat digunakan untuk membeli ubat serta membawa kanak-kanak itu menjalani rawatan tradisional.

Fatimah mengakui dia sedih dengan sikap anak lelaki dan menantunya yang tidak mengendahkan kehadiran cahaya mata mereka sendiri.

"Mereka ada masalah tapi yang jadi mangsa adalah cucu-cucu saya yang masih kecil ini padahal menjadi tanggungjawab mereka menjaga kanak-kanak ini," katanya.

Menjelang hari lebaran kali ini, dia mengakui perasaannya pilu kerana tiada persiapan sempurna buat tiga cucu tersebut berikutan kekurangan wang sebagaimana tahun sebelumnya.

"Kami tak mampu untuk menyediakan persiapan raya kerana untuk membeli barang keperluan pun kadang-kala tidak cukup," katanya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0909&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...