KUALA LUMPUR: “Wang saya hanya cukup untuk membeli tiket pulang ke kampung, sedangkan keluarga juga memerlukan wang untuk membeli keperluan hari raya,” luah Zainuddin Mangemban, 29, warga asing berasal dari Medan, Indonesia yang pertama kali menyambut Aidilfitri di negara ini.
Dia antara warga asing beragama Islam yang terpaksa menyambut Aidilfitri di perantauan kerana bekerja sepanjang musim perayaan.
Walaupun sedih dan terkilan, Zainuddin akur dan akan menyambut lebaran kali ini bersama teman sekerjanya di Serdang.
“Sudah dua tahun saya bekerja di sini dan inilah kali pertama saya tidak dapat beraya di kampung. Memang sedih, tetapi gaji yang tidak cukup untuk memenuhi keperluan keluarga membuatkan saya terpaksa melupakan hasrat bertemu mereka.
“Insya-Allah, hujung tahun ini saya akan usahakan untuk bertemu dengan keluarga untuk melepaskan kerinduan saya terhadap mereka,” katanya yang bekerja sebagai buruh kasar di Putrajaya.
Bagi Yahyu Sri Wahyuni Rashid, 40, Aidilfitri kali ini dirasakan janggal baginya kerana terpaksa beraya seorang diri di sini, dengan status ibu tunggal yang dipegang, hatinya akan tersentuh mengenangkan anak yang menyambut lebaran tanpa ayah.
“Anak bersama nenek mereka, walaupun mereka sedih tidak dapat beraya bersama saya, mereka faham saya punya tanggungjawab mencari wang untuk mereka di sini.
“Insya-Allah pada Aidiladha saya akan pulang meraikan majlis perkahwinan adik perempuan bongsu saya,” katanya yang berasal dari Jawa Timur, Indonesia.
Seorang lagi warga asing yang bekerja sebagai pelayan restoran, Suminah Ahmad Khafi, 39, berkata, sejak 18 tahun bekerja di sini, ini kali pertama dia terpaksa meninggalkan seorang lagi anaknya di kampung halaman Surabaya, Indonesia atas tuntutan kerja.
“Biarpun suami juga di sini, kesedihan tetap terasa kerana terpaksa membiarkan anak perempuan saya menyambut lebaran tanpa kami, “katanya.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Sedihsambutlebaranjauhdaripadakeluarga/Article
No comments:
Post a Comment