Thursday, September 9, 2010

Pulanglah sebelum Aidilfitri


MASTURI yang ditemui wartawan di rumah Sosilawati di Taman Harmonis, Gombak semalam.


GOMBAK - Hari ini genap sepuluh hari jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, bersama tiga lagi lelaki bersamanya hilang selepas keluar atas urusan perniagaan pada 30 Ogos lalu namun sehingga semalam tiada sebarang khabar berita mengenai nasib keempat-empat mangsa itu.

Adik Sosilawati, Masturi, 42, berkata, mereka sekeluarga terutama anak-anak Sosilawati masih menunggu kepulangannya dan berharap dia dapat sama-sama beraya di kampung di Batu Pahat, Johor seperti tahun-tahun sebelum ini.

"Mungkin tahun ini keluarga saya beraya di Kuala Lumpur selagi anak-anak Sosilawati tidak dapat berjumpa dengan ibu mereka," kata Masturi ketika ditemui di rumah Sosilawati di Taman Harmonis di sini semalam.

Masturi memberitahu, mereka sekeluarga juga merancang untuk mengadakan majlis doa selamat dan solat hajat di Batu Pahat, Johor bagi mempermudahkan segala hal dan dapat dipertemukan dengan Sosilawati dalam masa terdekat.

Sosilawati hilang pada 30 Ogos lalu bersama pembantu peribadinya, Kamarudin Shansudin, pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam Ahmad Kamil Abd. Karim, 32.

Isnin lalu, polis menemui kereta BMW X5 bernombor pendaftaran WTL 11 milik Sosilawati ditinggalkan di Flat Angsana, USJ manakala kereta BMW 525i bernombor pendaftaran AAJ 5 milik Ahmad Kamil ditemui di Hotel Dorsett, Subang Jaya.

Tinjauan Kosmo! di rumah Sosilawati pada pukul 1 petang semalam mendapati lebih enam buah kereta berada di pekarangan banglo mewah tersebut.

Masturi berkata, kereta-kereta tersebut milik saudara-mara yang datang dari Batu Pahat, Johor sejak malam kelmarin dan ada juga kereta itu membabitkan kenalan Sosilawati yang menziarahi mereka.

Dalam pada itu, Masturi berkata, beliau dan beberapa ahli keluarga lain tetap gigih keluar setiap malam mencari Sosilawati yang juga pengasas produk kecantikan Nouvelles Visage walaupun letih.

"Pada waktu siang saya menjaga anak-anak Sosilawati manakala pada waktu malam saya keluar mencarinya," katanya yang berharap adiknya dapat pulang sebelum Aidilfitri ini.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0909&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...