Tuesday, October 19, 2010

Jerebu kerana 244 titik panas Sumatera

Okt 18, 10 6:30pm

Keadaan berjerebu yang dialami terutamanya di sekitar kawasan Utara Johor, Negeri Melaka, Negeri Sembilan dan Negeri Selangor sejak kelmarin disebabkan oleh pencemaran jerebu merentas sempadan dari Sumatera, Indonesia.

Menurut kenyataan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS), Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, ini ekoran peningkatan bilangan titik panas di Sumatera meningkat kepada 244 kelmarin, berbanding 80 yang dikesan pada 16 Oktober.

"Imej satelit NOAA-18 pada 17 Oktober 2010 juga menunjukkan terdapat pergerakan asap jerebu dari kawasan-kawasan kebakaran di Wilayah Riau, Wilayah Sumatera Selatan dan Wilayah Jambi, Sumatera, Indonesia ke
Pantai Barat Semenanjung Malaysia," kata jabatan itu.

Sepanjang 24 jam juga, bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) daripada 51 buah stesen pengawasan kualiti udara JAS yang direkodkan pada jam 11.00 pagi tadi mencatatkan 23 kawasan berada pada tahap baik.

Manakala 27 kawasan berada pada tahap sederhana dan satu kawasan berada pada tahap tidak sihat, kata JAS dalam kenyataan itu lagi.

Kenyataan itu juga menyebut, jarak penglihatan sehingga pukul 12.00 tengah hari ini di beberapa kawasan tertentu seperti Batu Pahat, Muadzam Shah, Ipoh, Melaka, Temerloh dan Kuantan sedikit merosot kepada 3km hingga 7km.

"Orang ramai terus dinasihatkan supaya tidak melakukan atau menyebabkan pembakaran terbuka," kata jabatan itu.

Sekiranya berlaku kebakaran terbuka, orang ramai dinasihatkan melaporkannya kepada Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat di talian 999 dan Jabatan Alam Sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...