Tuesday, October 19, 2010

Usaha tangani isu tukar agama temui jalan buntu


Salhan K Ahmad & Regina Lee
Okt 18, 10
3:25pm



Usaha untuk menangani konflik yang membabitkan isu pertukaran agama menemui jalan buntu tahun lalu apabila tiga undang-undang mengenainya tidak dapat dikemukakan ke Parlimen kerana ditolak oleh Majlis Raja-Raja.

Malah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz, usaha seterusnya untuk meyakinkan Majlis Raja-Raja untuk memperkenankan pindaan tersebut juga menemui jalan buntu.





Ada satu masalah di sini sebab sebagaimana yang anda tahu, Islam berada di bawah bidang kuasa Sultan di mana mereka berdaulat dan di negeri yang tiada Sultan, Yang di-Pertuan Agong bertanggungjawab ke atas undang-undang Islam," katanya dalam wawancara dengan Malaysiakini minggu lalu.

“Jadi kita tidak boleh berbuat apa-apa tanpa perkenan Majlis Raja-raja. Jadi dalam isu pertukaran agama, Sultan masih merasakan perlunya mempertahankan Islam dan orang Islam kerana itu tugas mereka. Itu bawah bidang kuasa mereka.

“Mereka tidak yakin bahawa pindaan undang-undang yang dicadangkan kerajaan itu tidak menyentuh hak mereka sebagai penghulu kepada agama Islam di negeri-negeri. Ini yang perlu diselesaikan terlebih dahulu,”
katanya.

Oleh itu, katanya, BN tidak boleh dipersalahkan sekiranya kes-kes yang menimbulkan konflik di antara perundangan sivil dan syariah tidak dapat diselesaikan melalui pindaan undang-undang.

Malah, kata Nazri lagi, reformasi ke atas undang-undang berkenaan bukan hanya tanggungjawab kerajaan persekutuan, tetapi juga kerajaan di setiap negeri termasuk yang dikuasai Pakatan Rakyat.





Cadangan pindaan tersebut – berkaitan pembatalan perkahwinan, hak jagaan anak, pemberian nafkah kepada anak dan ister serta pembahagian harta – timbul berikutan berlakunya kes-kes pertukaran agama di kalangan pasangan yang berkeluarga.

Pada Jun tahun lalu, kerajaan cuba membentangkan pindaan kepada Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976, Akta Pentadbiran Undang-undang Agama Islam Wilayah-wilayah Persekutuan 1993.

Bagaimanapun, cadangan tersebut dibatalkan pada saat terakhir selepas mesyuarat Majlis Raja-Raja tidak memperkenannya untuk dibentangkan di Parlimen.

Sebelum itu, kabinet pada April juga telah mengeluarkan arahan yang menghalang ibu-bapa daripada menukar agama anak-anak mereka secara senyap-senyap.

Arahan itu timbul berikutan berlakunya beberapa pertikaian yang berpunca daripada tindakan beberapa individu yang memeluk Islam tanpa pengetahuan keluarga masing-masing.

Tindakan itu dilihat sebagai satu usaha kerajaan untuk mengawal keharmonian antara kaum yang semakin teruji apabila timbul beberapa kes melibatkan pertukaran agama dalam keluarga.





Antaranya ialah kes melibatkan wanita beragama Hindu, M Indira Gandhi, 35, yang hampir kehilangan hak penjagaan ke atas anak-anaknya apabila suaminya yang memeluk Islam bersama kanak-kanak berkenaan tanpa pengetahuannya.

Polemik yang timbul daripada kes berkenaan kemudianya mendapat perhatian umum, malah turut menggamit pandangan ahli
politik yang cenderung melihat isu berkenaan dari isu hak asasi manusia.

Pasca Mac 2008, isu berkenaan juga dilihat sebagai satu punca kegagalan BN mengekalkan pengaruhnya di kalangan pengundi bukan Islam di kawasan urban seperti Selangor dan Pulau Pinang.

Sementara itu, Nazri yang juga menteri undang-undang berkata, beliau telah cuba menjelaskan usaha kerajaan untuk meminda undang-undang berkenaan kepada Majlis Raja-Raja tetapi ianya tetap menemui jalan buntu.

“Walaupun saya telah cuba menjelaskan, bahawa kita bercakap tentang hak seseorang, (dalam) senario sebelum dia menjadi orang Islam, seperti perkahwinannya dan semua itu, baginda sultan masih berpendapat ianya menyentuh hak sebagai orang Islam.

“Walaupun seseorang individu itu baru saja menukar agama (memeluk Islam), tapi dia masih seorang Islam, dan (baginda sultan) perlu dirunding dan mereka perlu memperkenankan (pindaan). Jadi tiada apa-apa yang boleh kita lakukan,”
katanya.





Beliau juga mencabar menteri besar di negeri-negeri yang dikuasai Pakatan supaya mengambil langkah lebih proaktif bagi mempengaruhi ketua negeri masing-masing supaya menyokong langkah reformasi ke atas undang-undang berkenaan.

Katanya, usaha reformasi berkenaan tidak boleh diletakkan sebagai tanggungjawab kerajaan BN semata-mata.

“Ianya bukan (tanggungjawab kerajaan) BN, tapi apa-apa kerajaan (sekalipun). Apatah lagi apabila agama merupakan tanggungjawab kerajaan negeri. Jadi ia juga menjadi perhatian kerajaan PAS di Kelantan dan Kedah, kerajaan DAP di Pulau Pinang dan kerajaan PKR di Selangor.

“Sebab (Islam) ialah isu (kerajaan) negeri, jadi anda tidak boleh kata ini masalah BN. Ini persepsi yang salah. Kenapa (pentadbiran negeri Pakatan) tidak bercakap dengan sultan?

“Kenapa mesti (BN) yang mesti sentiasas (dipersalahkan)? Islam ialah masalah negeri dan mereka ada hubungan terus dengan Sultan. Mengapa mereka tidak bercakap?

“Yakinkanlah para sultan. Sekiranya (kerajaan negeri Pakatan) adil kepada orang bukan Islam, mereka perlu berusaha kerasa untuk meyakinkan Sultan dan keperluan reformasi undang-undang ini,”
katanya lagi.



No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...