Dalam pada itu, kawalan sekitar Parlimen juga diperketatkan dengan kehadiran kira-kira 50 anggota polis bagi menghalang sekumpalan Orang Asli yang dipercayai cuba menyerahkan memorandum berkenaan.
Sekatan polis di adakan di Jalan Duta menuju ke bangunan Parlimen dan beberapa Orang Asli yang datang sewal jam 9 pagi juga tidak dibenarkan masuk, walaupun mereka mendakwa masing-masing telahpun membuat permohonan rasmi.
Menurut pegawai khas kepada Datuk Kamarul Baharin Abbas, - Muhammad Faizal Zakaria, rombongan Orang Asli itu sepatutnya dibenarkan masuk kerana ahli parlimen Telok Kemang itu sendiri yang membuat permohonan berkenaan minggu lalu.
Bagaimanapun cubaan kedua mereka pada jam 10.15 pagi berjaya setelah dijelaskan bahawa tujuan mereka ke Parlimen bukan untuk membantah ataupun menyerahkan sebarang memorandum.
Menurut naib presiden Persatuan orang Asli Semenanjung Malaysia, Simpan Suda, polis memaklumkan bahawa mereka menerima maklumat kira-kira 300 Orang Asli akan berdemonstrasi sebelum menyerahkan memorandum.
Tinggal 18 saja
“Apabila kami datang pada kali kedua, hanya tinggal 18 sahaja kerana yang lain takut. Kami bukan datang menyerahkan memorandum, kami cuma pelawat biasa. Kami ke mari bukan menimbulkan kekacauan,” katanya.
Orang Asli Semenanjung Malaysia menurut Simpan cuma mahu hak mereka dimasukkan dalam tafsiran Perkara 153 dan Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan.
"Apa yang kita lihat, jangan dipertikai (Perkara) 153 Hak Istimewa Orang-Orang Melayu (dan Agama Islam) Perlembagaan Persekutuan."
"Tapi, kita nak memanjangkan keistimewaan Orang Asli di Semenanjung (Malaysia) saja kerana hak orang Melayu, Bumiputera Sabah dan Bumiputera Sarawak saja yang ada," katanya.
Perkara 153 dan 160 perlembagaan tidak memberikan hak istimewa kepada Orang Asli Semenanjung sebagai Bumiputera.
Fasal (2) Perkara 160 hanya mentafsirkan Orang Asli adalah Orang Asli Semenanjung Tanah Melayu tetapi tidak menjamin sebarang hak keistimewaan kaum minoriti tersebut.
Tidak dipelihara
Baginya, Hak Orang-Orang Asli nampaknya seakan tidak dipelihara.
"Seolah-olah hak kami (Orang Asli Semenanjung) tidak ada hak apa-apa dalam Perlembagaan kerana tafsiran hak kami pun tidak ada.
"Kita nak minta panjangkan sendiri untuk pertahankan hak-hak kami, bukan kita minta dimansuhkan hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak dalam Perlembagaan," katanya.
Dalam sidang akhbar kemudiannya, Kamarul berkata usul tergempar berhubung status itu ditolak dengan alasan ia pernah ditimbulkan dan dibincangkan di Dewan Rakyat.
Dalam usulnya, Kamarul menggesa pengiktirafan bumiputera diberikan kepada Orang Asli kerana Perkara 153, Perlembagaan Persekutuan tidak memberikan mereka status berkenaan.
“Orang Asli telah lama tunggu untuk diiktiraf sebagai bumiputera... isu ini telah dipendam begitu lama,” katanya.
Dr Hatta Ramli (PAS-Kuala Krai) pula berkata status Orang Asli sepatutnya dibahaskan kerana kesamaran kedudukan dan hak mereka menyebabkan kumpulan itu dipinggirkan dari arus pembangunan.
“Kami hormati pandangan speaker tetapi isu ini tidak harus dibiarkan berlarutan setelah 53 tahun merdeka. Kerajaan seharusnya menerima Orang Asli sebagai bumiputera, ini perkara yang sepatutnya dan tidak seharuis mempunyai masalah,” katanya.
No comments:
Post a Comment