Saturday, November 20, 2010

Jadikan masjid tempat ilmu, satukan ummah

Hafizi Pauzi

PARIT BUNTAR, 18 Nov: Adun Titi Serong, Drs Khalil Idham Lim berharap masjid sebagai rumah Allah menjadi tempat yang subur dengan majlis ilmu dan menyatukan ummah.

Beliau juga menyeru Islam untuk mengorbankan waktu lima kali sehari semalam untuk memenuhi masjid dan surau bagi memastikan tidak berlaku fenomena kekurangan jemaah.

Beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Perak menyeru umat Islam mengorbankan waktu yang ada untuk menimba ilmu agama di mana sahaja.

Tegasnya, ilmu merupakan pusaka yang terbaik yang boleh diwarisi kepada anak-anak.

“Dengan ilmu, anak-anak kita akan mencapai matlamat kehidupan dan reda Allah SWT.

"Sesungguhnya para jemaah mestilah bertanggungjawab untuk memastikan rumah Allah ini tidak kosong dari jemaah, juga kita mesti pastikan anak-anak kita sudah dididik dengan ilmu agama secukupnya," katanya semasa berkhutbah Hari Raya Aidil Adha di Surau Parit Haji Nasir, di sini semalam.

Khalil yang ditemui selepas itu menyatakan bahawa kehidupan masyarakat dalam Dun Titi Serong adalah amat sinonim dengan masjid dan surau.

"Oleh itu program ‘Mesra Masjid dan Surau’ yang pernah saya katakan sejak awal saya menang di sini masih diteruskan sehingga sekarang," jelasnya yang juga Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak.

Sehubungan itu, beliau juga mengharapkan pihak jawatankuasa masjid dan surau dalam Dun itu sudi untuk menyampaikan maklumat sekiranya terdapat masalah dan keperluan yang perlu diambil perhatian.

"Sekiranya kita mampu untuk membantu, kita akan usahakan melalui saluran tertentu, yang penting pejabat kami kenalah diberikan aduan terlebih dahulu.

"Kerana itu saya sangat menghargai pihak jawatankuasa masjid dan surau dalam Dun Titi Serong yang sentiasa mengambil langkah untuk mengimarahkan rumah Allah.

“Selain dari solat berjemaah, banyakkan menganjur kelas-kelas pengajian di samping mengadakan aktiviti rutin mingguan seperti bacaan Yaasin pada malam Jumaat, dan sambutan hari kebesaran Islam secara terus menerus," ujarnya lagi.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=29499:jadikan-masjid-tempat-ilmu-satukan-ummah&catid=1:utama&Itemid=50

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...