Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution berkata sistem satu ahli satu undi yang diperkenalkan pada pemilihan kali ini adalah sejajar dengan matlamat memberikan akar umbi hak menentukan corak kepimpinan parti.
"Kita percaya kepada prinsip memberikan hak dan juga kepada setiap anggota yang sebenarnya boleh dianggap bijak dan mampu berfikir bagi menentukan corak kepimpinan yang mereka hendak amanahkan bagi menerajui kepimpinan parti," kata Saifuddin kepada TV Selangor, melalui segmen bual bicara, Terus Terang.
PKR adalah parti politik pertama di Malaysia memperkenalkan sistem pemilihan secara langsung dengan setiap ahli di peringkat cabang berhak memilih pemimpin peringkat nasional.
Namun pemilihan beberapa cabang tercemar dengan tuduhan proses pengundian tidak telus termasuk pengiraan kertas undi selain dakwaan provokasi luar dari bukan ahli parti.
Kemuncak tidak puas hati sistem baru pemilihan itu adalah apabila bekas menteri kabinet, Datuk Zaid Ibrahim tidak meneruskan saingannya sebagai timbalan presiden dan bertindak keluar dari parti.
Krisis paling hebat
Seorang lagi calon timbalan presiden, Mustaffa Kamil Ayub juga telah berulang-kali meminta pemilihan kali ini ditangguhkan tetapi tidak dilayan.
PKR yang jarang-jarang mendapat ruang di media arus perdana, tiba-tiba mendapat perhatian apabila segala pergolakan parti itu diberikan perhatian khusus dan dilaporkan sebagai krisis paling hebat dalam PKR.
Namun Saifuddin berkata segala tuduhan mesti ditangani secara tenang dan dinilai dari konteks yang betul.
“Tidak ada keperluan untuk parti menekan butang kecemasan.
"Kita kena ingat sistem pemilihan yang adil adalah satu proses terbuka yang mengundang segala macam masalah, sama ada reaksi dari orang luar mahupun orang dalam. Itu tidak dapat dielakkan.
"Reaksi dari orang luar kita anggap sebahagian daripada minat mereka terhadap proses ini. Reaksi daripada orang dalam, baik yang berupa aduan, komen, kritik, adalah satu lagi perkara yang berlaku secara terbuka.
"Kalau mereka salurkan melalui saluran parti, kita akan tangani cara saluran parti. Kalau mereka memilih untuk meletupkannya secara terbuka, kita akan hadapi secara terbuka," kata Saifuddin.
Beliau menegaskan PKR sebagai sebuah parti masa depan, harus berani membawa perubahan hatta mencuba sesuatu yang baru.
Beliau berkata dengan memperkenalkan sistem pemilihan secara langsung, PKR memberikan petunjuk jelas bahawa ia adalah sebuah parti untuk masa depan.
"Politik itu bersifat dinamik. Yang namanya politik itu bukan sesuatu yang berbentuk statik. Mesti ada keberanian untuk mencuba sesuatu yang baru. Bermula dengan proses penamaan calon biar pun belum pernah dilakukan oleh mana-mana parti," katanya.
Suara rakyat
Berbeza dengan parti perkauman seperti Umno dan rakan parti komponennya dalam BN, Saifuddin berkata PKR bergerak jauh ke hadapan dengan mendokong suara rakyat tanpa mengira latar belakang dan fahaman agama.
Atas sebab itu, kira-kira 400,000 ahli PKR di seluruh negara berjaya disatukan di bawah satu bumbung parti dengan komposisi 50 peratus masyarakat berbangsa Melayu, 23 peratus India, 12 peratus Cina dan 15 pelbagai etnik dari Sabah dan Sarawak.
"Kalau hendak dilihat dari rupa wajah politik Malaysia akan datang, cerminannya sudah ada pada parti Keadilan,” katanya.
Namun tegasnya, PKR yakin, sistem pemilihan sebegitu adalah cara terbaik untuk menzahirkan konsep perjuangan yang dibawanya.
"Saya fikir untuk jangka masa panjangnya, dari sudut falsafah, dari sudut prinsipnya, saya percaya parti Keadilan sedang bergerak pada landasan yang betul untuk memberikan satu rupa dan wajah baru kepada politik negara pada satu masa nanti," katanya lagi.
http://malaysiakini.com/news/148465
No comments:
Post a Comment