Sunday, January 2, 2011

Apa sudah jadi?

SUBANG JAYA – Kegembiraan sekumpulan remaja perempuan meraikan ‘ladies nite’ di sebuah pusat hiburan di Bandar Sunway di sini tidak bertahan lama apabila enam daripadanya positif pelbagai jenis dadah dalam ujian air kencing saringan awal yang dilakukan dalam satu serbuan awal pagi semalam.

Riak wajah keceriaan menikmati hiburan termasuk ada di antaranya yang meneguk arak bertukar pucat lesi apabila dimaklumkan mereka positif dadah jenis ketamin dan ganja dalam operasi 12 tengah malam itu sehingga 1.30 pagi semalam.

Dalam serbuan dengan kerjasama 33 anggota Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), 17 daripada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan 12 daripada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) itu, lima lelaki turut ditahan bagi kesalahan sama manakala tujuh lagi dicekup kerana didapati minum minuman keras.

Difahamkan, remaja perempuan beragama Islam yang rata-ratanya memakai skirt pendek dan sendat mengunjungi pusat hiburan terkenal itu berikutan pengusaha menawarkan harga istimewa kepada pengunjung perempuan setiap malam Rabu dan Khamis.

Malah berkemungkinan untuk mendapatkan harga istimewa pada malam itu, empat lelaki turut ditahan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 30 Enakmen Jenayah Syariah Selangor (EJSS) kerana berpakaian menyerupai wanita.

Ketua Unit Penguatkuasaan AADK Daerah Petaling, Syaiful Asfar Abdul Rahman berkata, dalam serbuan itu, 11 pengunjung ditahan selepas disyaki terlibat dalam penyalahgunaan pelbagai jenis dadah.

Katanya, kesemua yang ditahan dibawa untuk tindakan lanjut manakala ujian saringan air kencing akan dihantar ke makmal kimia untuk pengesahan selanjutnya.

http://www.sinarharian.com.my/sh/selangor/content/story8565921.asp

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...